Menyamar juruiring Raja Muda Selangor, lelaki dipenjara dua tahun, empat sebatan

LocalPolitics
17 Nov 2026 • 2:53 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Menyamar juruiring Raja Muda Selangor, lelaki dipenjara dua tahun, empat sebatan

SHAH ALAM, 17 NOV: Seorang lelaki yang menyamar sebagai juruiring Raja Muda Selangor dihukum penjara dua tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan menipu seorang doktor wanita membabitkan kerugian RM155,000.

Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Al Zulfadly Alias, 40, dan memerintahkan tempoh pemenjaraan bermula dari tarikh tangkap pada 16 November lalu, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu bersama tunangnya, Nurul Nur Syahirah Kamarudin, 37, memperdaya mangsa dengan menawarkan hartanah di Eco Ardence dan kenderaan mewah Lexus LM 500h pada harga lebih rendah daripada pasaran.

Perbuatan itu mendorong mangsa melakukan beberapa transaksi pemindahan wang berjumlah RM155,000 ke akaun bank milik Al Zulfadly.

Kesalahan berkenaan dilakukan di Jalan Ampang antara 2 hingga 19 Julai lalu.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh mendakwa mempunyai hubungan dengan Raja Muda Selangor bagi meyakinkan mangsa sebelum wanita itu membuat lima transaksi pembayaran.

Bagaimanapun, kenderaan dan dua unit kediaman yang dijanjikan tidak diserahkan, manakala semakan dengan Istana Selangor mengesahkan tertuduh bukan pegawai atau pengawal peribadi Raja Muda Selangor.

Al Zulfadly didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Batrisyia Mohd Khusri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira tindakan tertuduh menggunakan nama institusi diraja bagi melakukan penipuan.

Bagaimanapun, Al Zulfadly yang tidak diwakili peguam merayu hukuman minimum atas alasan sudah insaf dengan perbuatannya.

“Saya juga sudah dijatuhi hukuman penjara setahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam atas pertuduhan menipu mangsa lain,” katanya.

Sementara itu, Nurul Nur Syahirah yang berdepan empat pertuduhan sama mengaku tidak bersalah dalam prosiding semalam.

Mahkamah membenarkan wanita itu diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis sekali sebulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 16 Disember ini bagi penyerahan dokumen.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved