Eksponen28/08/2026 - 07:00 Oleh WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA editor@dagangnews.com Tema Hari Kebangsaan tahun ini ialah “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”. Selepas 69 tahun merdeka, Malaysia tidak lagi perlu membuktikan bahawa kita ialah sebuah negara membangun.
Ekonomi berkembang 5.2% pada 2025 dan nilainya mencecah RM2.03 trilion. Sektor perkhidmatan dan pembuatan menyumbang 82.5% daripada KDNK. Lebuh raya ada, universiti ada, pelaburan global ada dan nama Malaysia berada dalam rantaian bekalan semikonduktor dunia.
Pendek kata, kita sudah pandai dan mampu mencipta kekayaan. Yang belum begitu meyakinkan ialah kemampuan memastikan kekayaan itu tidak perlu melalui terlalu banyak pintu sebelum sampai ke tempat yang sepatutnya.
Kadangkala seorang usahawan menawarkan produk terbaik dan harga paling kompetitif, tetapi masih perlu memikirkan satu lagi faktor yang tidak diajar di mana-mana: kenal siapa?
Seorang pegawai mungkin mahir tentang segala prosedur, pekeliling dan undang-undang. Malangnya, satu panggilan telefon boleh mengubah segalanya.
Di situlah rasuah menjadi lebih canggih. Sampul surat terlalu biasa. Zaman sudah berubah. Keistimewaan hari ini boleh datang dalam bentuk akses.
Harga kedua selepas harga rasmi
Rasuah yang paling mahal tidak semestinya yang melibatkan jumlah wang terbesar.
Kadangkala yang paling mahal ialah apabila orang mula tahu bahawa ada dua set peraturan.
Satu untuk mereka yang mengikut proses. Satu lagi untuk mereka yang boleh memintasnya. Selagi dua dunia itu wujud, kita bukan sekadar berdepan dengan masalah integriti.
Kita sedang membina ekonomi yang mengajar bahawa akses ialah aset. Dan itu mungkin lebih sukar dibetulkan daripada mana-mana angka dalam laporan audit.
Skor 52 dan kemewahan untuk berasa selesa
Malaysia naik dua mata kepada 52 dalam Indeks Persepsi Rasuah 2025 dan berada di kedudukan ke-54 daripada 182 negara.
Pergerakan itu positif, tetapi angka tersebut lebih berguna sebagai amaran daripada pencapaian.
Skor 52 menunjukkan institusi masih berfungsi, tetapi ruang untuk budi bicara, campur tangan dan ketidakpastian belum cukup kecil untuk dianggap remeh.
Bagi ekonomi yang mahu bergerak ke tahap seterusnya, “tidak terlalu buruk” bukan lagi standard yang memadai. Maka, kita belajar hidup di tengah-tengah.
Kabel dinaik taraf menjadi networking. Campur tangan dilembutkan menjadi “tolong tengokkan”. Pengecualian diberi nama yang lebih sopan: budi bicara.
Bahasa memang hebat. Kadangkala masalah yang sama kedengaran jauh lebih profesional selepas ditukar nama.
Akhirnya, kita sampai kepada satu ungkapan yang mungkin lebih berbahaya daripada skor 52: “Biasalah tu”.
Skandal masih membuat orang marah. “Biasalah tu” bermaksud kita sudah letih untuk marah. Rasuah tidak perlu mengalahkan semua orang jujur, tetapi cukuplah dengan membuat mereka penat.
Sampai bila rasuah, ketirisan dan sakau akan berakhir?
Malaysia sebenarnya tidak kekurangan strategi mahupun institusi. Kita mempunyai SPRM. Kita mempunyai Jabatan Audit Negara. Kita mempunyai pelan antirasuah. Kita mempunyai undang-undang. Kita mempunyai jawatankuasa. Kita mempunyai laporan.
Kalau dokumen sahaja boleh menghapuskan rasuah, sudah lama kita menjadi Denmark.
Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024–2028 menggunakan anggaran kehilangan keluaran ekonomi sebanyak RM277 bilion bagi tempoh 2019 hingga 2023. Angka itu bukan jumlah wang yang disahkan dicuri satu persatu; ia merupakan anggaran makroekonomi tentang nilai ekonomi yang mungkin tidak tercipta akibat rasuah.
Laporan Ketua Audit Negara 1/2026 pula mengenal pasti 273 isu baharu berkaitan pengurusan kewangan dan tadbir urus. Tindakan susulan audit membantu kerajaan mendapatkan semula hasil dan bayaran balik berjumlah RM316.68 juta.
Sekurang-kurangnya itu memberikan satu berita baik: apabila laporan dibaca, teguran diambil serius dan tindakan dibuat, wang memang boleh kembali.
Kerana tujuan audit bukan untuk menghasilkan PDF yang cantik untuk dimuat turun beberapa hari sebelum kita melupakannya.
Malaysia kini juga mempunyai Akta Perolehan Kerajaan 2025, termasuk mekanisme semakan dan tribunal rayuan. Ini mungkin tidak menghasilkan gambar sehebat operasi tangkapan, tetapi reformasi sebenar memang biasanya membosankan. Rekod mesti disimpan. Keputusan mesti boleh dipersoalkan. Pengecualian mesti dijelaskan.
Lebih baik lagi jika suatu hari nanti kita berjaya menjadikan “orang dalam” satu pelaburan yang tidak lagi memberikan pulangan.
Merdeka daripada “Biasalah”
Tema tahun ini menyebut “Kesejahteraan Dinikmati”. Perkataan terakhir itu penting. KDNK boleh meningkat, tetapi kesejahteraan hanya dinikmati apabila nilai itu sampai kepada sekolah, hospital, pengangkutan, perniagaan dan keluarga tanpa terlalu banyak yang tercicir di sepanjang perjalanan.
Selepas 69 tahun, kita mempunyai kerajaan sendiri, institusi sendiri, undang-undang sendiri dan wang sendiri.
Maka, semakin sukar juga untuk mencari orang lain untuk dipersalahkan. Penjajah sudah lama pulang. Kalau masih ada yang mahu menyakau, yang tinggal sekarang semuanya orang kita.
Dan mungkin ukuran kemerdekaan yang lebih matang bukanlah berapa tinggi bangunan yang mampu kita bina atau berapa trilion nilai ekonomi kita.
Ia ialah hari apabila kabel tidak lagi mempunyai nilai ekonomi, “tolong tengokkan” tidak boleh mengubah keputusan, dan orang yang mahu menyakau akhirnya mendapati satu-satunya pintu yang terbuka untuknya ialah pintu mahkamah. - DagangNews.com






