MERAK Jalanan hairan dengan sikap orang Malaysia. Meratap di media sosial kenaikan kos sara hidup, harga barangan asas tidak menentu, serta kesempitan wang.
Maki hamun menteri dan kerajaan kerana dakwa ekonomi tak bagus tapi tersentak bila diminta berjimat cermat.
Kalau dulu orang bermain mercun pada malam raya tapi tahun ini orang bermain mercun sepanjang Ramadan. Perang mercun di Malaysia kalah perang di Asia Barat.
Bunyi mercun memang menceriakan suasana tapi bukan percuma. Setiap letupan adalah bunyi duit terbakar.
Ramai merungut dengan kenaikan barang tetapi bila bab membakar mercun, tiada bantahan.
Terang-terangan perbuatan itu suatu pembaziran dan semuanya tahu dalam Islam, ia perkara dilarang keras.
Betul, anda punyai hak ke atas duit anda sendiri, terpulang kepada anda. Duit anda adalah hak anda. Cuma apabila duit sudah tidak ada, janganlah meratap di media sosial pula.
Kerajaan sudah beri amaran bekalan makanan hanya bertahan sehingga pertengahan tahun ini jika perang masih berterusan. Kalau harga minyak petrol naik, masak kita.
Diesel dah naik harga sekarang. Tak mustahil harga barangan menyusul. Kita pun tidak tahu bila perang berakhir. Perang di Asia Barat jejaskan dapur rumah kita.
Mungkin ada yang kata 'sekali-sekala nak bergembira'. Memang benar, kegembiraan itu perlu. Tapi biarlah berpada. Tidak sampai 5 minit, hangus beratus ringgit. Apa yang kita dapat? Hanya keseronokan sementara.
Kadang-kadang Merak Jalanan terfikir, adakah ekonomi kita memang semakin parah atau kita sebenarnya gagal dalam menetapkan keutamaan kewangan?
Masyarakat perlu lebih jujur. Keluhan tidak akan membawa perubahan jika gaya hidup masih berteraskan nafsu.



