Mesyuarat Majlis Raja-Raja: Tuanku Muhriz Dijemput Hadir Esok, Nadzaruddin Tiada Dalam Senarai

LocalPolitics
12 Oct 2026 • 2:57 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Mesyuarat Majlis Raja-Raja: Tuanku Muhriz Dijemput Hadir Esok, Nadzaruddin Tiada Dalam Senarai

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dijemput menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja dijadualkan berlangsung mulai esok hingga 15 Oktober ini.

Jemputan disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selaku pengerusi mesyuarat itu dilihat mengukuhkan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah sah Negeri Sembilan, selaras dengan pendirian Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang berulang kali menegaskan keabsahan baginda.

The Straits Times (Singapura) melaporkan, Tuanku Muhriz bagaimanapun memaklumkan, baginda hanya akan menghadiri mesyuarat pra-Majlis pada 13 Oktober ini.

Mesyuarat pra-Majlis tidak dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, bagi memastikan kepentingan di peringkat negeri dibincangkan terlebih dahulu sebelum pertemuan dengan wakil Kerajaan Persekutuan, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sumber memberitahu The Straits Times, Tuanku Muhriz dijadual mempengerusikan urusan pelantikan Undang Jelebu yang baharu pada 14 Oktober ini.

Tuanku Muhriz sebelum ini lantang menyuarakan pendirian menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa, khususnya dalam isu pelantikan hakim, yang didakwa menyebabkan baginda berdepan tentangan daripada sebahagian kelompok berpengaruh negara.

Antara pihak disebut termasuk pemimpin UMNO yang menggerakkan usaha mendapatkan pengampunan bagi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar dilaporkan tidak menerima jemputan daripada Sultan Nazrin Shah, walaupun diisytiharkan sebagai pemerintah baharu Negeri Sembilan oleh tiga bekas Undang dan seorang Undang yang masih berkhidmat.

Lapor The Straits Times lagi, Tunku Nadzaruddin telah beberapa kali berusaha mendapatkan jemputan menerusi beberapa Raja Melayu dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, bagi menghadiri mesyuarat itu menggantikan Tuanku Muhriz.

Dalam kenyataan tegas yang dikeluarkan baru-baru ini, DKU sekali lagi menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai pemerintah, manakala dokumen dikeluarkan oleh kumpulan yang mempertikaikan kedudukan baginda tidak menjejaskan status perlembagaan itu.

Kenyataan setebal 17 halaman itu merupakan penjelasan paling menyeluruh DKU setakat ini berhubung pertikaian berkenaan, yang berpunca daripada satu pengisytiharan bertarikh 19 April lalu, didakwa bertujuan menyingkirkan Tuanku Muhriz.

Jelas DKU, dokumen bertarikh 19 April itu tidak memenuhi syarat mandatori di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, termasuk keperluan mengadakan siasatan lengkap sebelum bekas-bekas Undang boleh meminta Yang di-Pertuan Besar meletakkan jawatan.

DKU turut menolak kesahihan perhimpunan berlangsung pada 5 September lalu yang disifatkan kumpulan berkenaan sebagai satu “sidang khas”.

Menurut DKU, hanya terdapat satu badan DKU yang diiktiraf di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan. 

Perhimpunan pada 5 September itu juga tidak diadakan dengan perkenan Tuanku Muhriz atau melalui Setiausaha DKU.

Sehubungan itu, perhimpunan berkenaan tidak boleh dianggap sebagai persidangan badan perlembagaan tersebut, menurut kenyataan itu.

DKU turut memaklumkan bahawa perhimpunan berkenaan diadakan ketika injunksi interim yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi pada 5 Jun lalu masih berkuat kuasa.

Injunksi itu melarang pihak plaintif dalam prosiding berkenaan, termasuk individu dikaitkan dengan dokumen yang dipertikaikan, daripada mengadakan atau menyertai mesyuarat didakwa sebagai persidangan DKU. 

Mereka juga dilarang mengambil tindakan yang boleh mengubah kedudukan sedia ada berkaitan pentadbiran dan urusan badan itu.

Selain itu, DKU menolak dua surat bertarikh 30 September yang digambarkan sebagai “warkah” dan dihantar kepada Ketua Setiausaha Negara serta Peguam Negara.

Surat berkenaan antara lain meminta campur tangan Kerajaan Persekutuan berhubung kedudukan Setiausaha Kerajaan Negeri, selain menggesa supaya dokumen yang dikeluarkan atas nama Tuanku Muhriz tidak dilaksanakan tanpa kelulusan kumpulan terbabit.

DKU menegaskan, individu yang menandatangani surat berkenaan tidak mempunyai kuasa perlembagaan untuk mengeluarkan arahan sedemikian.

Malah, DKU menyifatkan tindakan itu sebagai perbuatan “derhaka” dan menyatakan bahawa ia berpotensi menjadi kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

DKU turut mengingatkan penjawat awam negeri dan Persekutuan supaya tidak bertindak berdasarkan arahan daripada individu yang kewibawaannya masih dipertikaikan.

Dalam kenyataan sama, DKU menolak dakwaan bahawa Negeri Sembilan mempunyai pemerintah secara kolektif atau lebih daripada seorang pemerintah, yang merangkumi Yang di-Pertuan Besar dan para Undang. - Getaran, 12 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved