Tuanku Muhriz tumpu urusan negeri, putuskan tidak berangkat ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja

LocalPolitics
12 Oct 2026 • 5:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tuanku Muhriz tumpu urusan negeri, putuskan tidak berangkat ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja
Tuanku Muhriz

SHAH ALAM - Teka-teki mengenai kehadiran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja terjawab selepas baginda mengesahkan tidak hadir.

Baginda memutuskan untuk tidak berangkat menghadiri mesyuarat berkenaan dan akan menumpukan kepada urusan negeri iaitu Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu.

Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, kehadiran Yang di-Pertuan Besar ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja tidak memerlukan jemputan.

"Merujuk kepada laporan media yang tersiar pada hari ini, bahawasanya Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dilaporkan telah menerima jemputan untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

"Istana Negeri Sembilan ingin menjelaskan bahawa kehadiran ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja tidak memerlukan jemputan.

"Selain itu, Ke Bawah Duli Tuanku juga tidak menerima surat atau warkah jemputan daripada Pengerusi Mesyuarat, Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, untuk menghadiri Mesyuarat Pra-Majlis Raja-Raja," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, Straits Times Singapura melaporkan, Tuanku Muhriz dijemput menghadiri mesyuarat berkenaan yang bermula Selasa.

Perkembangan itu dilihat sebagai pengiktirafan Raja-Raja Melayu terhadap kedudukan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah Negeri Sembilan yang sah, ketika krisis institusi diraja negeri itu berlarutan sejak enam bulan lalu susulan pengisytiharan, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.

Menurut Straits Times, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang dijadual mempengerusikan mesyuarat itu sehingga 15 Oktober telah menjemput Tuanku Muhriz untuk hadir.

Dalam pada itu, Azizi berkata, Tuanku Muhriz juga tidak menerima surat atau warkah jemputan daripada Pengerusi Mesyuarat, Sultan Perak untuk menghadiri Mesyuarat Pra-Majlis Raja-Raja.

"Istana Negeri Sembilan juga ingin menegaskan bahawa tiada sebarang kenyataan media pernah dikeluarkan oleh pihak istana berhubung perkara ini sebelum ini kepada mana-mana pihak atau media," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved