
PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir memutuskan untuk tidak berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan akan menumpukan kepada urusan negeri iaitu Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu.
Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, kehadiran Yang di-Pertuan Besar ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja tidak memerlukan jemputan.
Katanya, penjelasan tersebut dibuat merujuk kepada laporan media yang tersiar hari ini bahawa Tuanku Muhriz telah menerima jemputan untuk berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja.
“Ke Bawah Duli Tuanku juga tidak menerima surat atau warkah jemputan daripada Pengerusi Mesyuarat, Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak untuk menghadiri Mesyuarat Pra-Majlis Raja-Raja.
“Istana Negeri Sembilan juga ingin menegaskan bahawa tiada sebarang kenyataan media pernah dikeluarkan oleh pihak Istana berhubung perkara ini sebelum ini kepada mana-mana pihak atau media,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN
The post Tuanku Muhriz tumpu urusan negeri, tidak berangkat ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja appeared first on Utusan Malaysia.





