Meta kini mengesahkan mereka telah memulakan ciri langganan berbayar untuk Instagram, dinamakan Instagram Plus, di beberapa buah negara. Melalui sokongan langganan ini, Instagram Plus menawarkan beberapa ciri tambahan berbanding pengguna percuma.

Antara ciri yang ditawarkan adalah kebolehan untuk melihat sesuatu Stories tanpa yang berkongsi berkenaan ketahui yang anda telah melihatnya. Ini sekaligus membolehkan anda menjaga privasi tambahan, dan mengelak pengguna lain melihat yang anda telah menonton Stories mereka.
Disamping itu, pelanggan Instagram Plus akan dapat melihat berapa ramai yang menonton semula Stories mereka, selain mencipta lebih banyak kumpulan perkongsian terhad selain Close Friends. Pelanggan Instagram Plus turut boleh melanjutkan sesuatu Stories terpilih untuk tempoh lebih 24 jam.
Buat masa ini, senarai penuh negara yang Instagram Plus diuji tidak diketahui lagi. Langganan ini juga dilihat berbeza dan berasingan dengan Meta Verified yang sedia ditawarkan yang memberikan tanda calit biru pada akaun pengguna.
Dengan penawaran ini, Meta dijangka akan mempelbagaikan dan menambah lagi pendapatan mereka, selain daripada pengiklanan pada platform mereka.




