Mi Technovation beli bangunan industri di Singapura RM331.8 juta untuk hab operasi global

LocalBusiness & Finance
30 Oct 2026 • 6:11 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mi Technovation beli bangunan industri di Singapura RM331.8 juta untuk hab operasi global Image from: Mi Technovation beli bangunan industri di Singapura RM331.8 juta untuk hab operasi global hamden30/10/2026 - 18:11 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Okt - Mi Technovation Bhd menerusi anak syarikat milik penuh kumpulan itu, Ohima International Pte. Ltd. (Ohima), memeterai perjanjian jual beli bersyarat bagi mengambil alih sebuah bangunan perindustrian tujuh tingkat di Singapura pada harga SGD103.88 juta (RM331.8 juta).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, cadangan pengambilalihan daripada Kim Hup Lee & Co. (Private) Limited itu dimeterai pada 30 Oktober 2026 dan membabitkan KHL Building yang terletak di 25 New Industrial Road, Singapura.

 

Bangunan berkenaan akan dijadikan hab operasi global bagi unit perniagaan teknologi kenderaan kumpulan itu (VTBU), merangkumi pusat data dan pengkomputeran utama, pusat kembar digital dan kecerdasan buatan (AI), serta pusat penentuan produk dan strategi.

 

Kemudahan itu turut menempatkan pusat jualan dan pemasaran seluruh dunia, pusat kewangan dan perundangan global, pusat pengalaman pelanggan serta kemudahan sokongan lain.

 

KHL Building mempunyai keluasan tapak 3,988.9 meter persegi, manakala keluasan lantai kasarnya ialah 10,348.4 meter persegi atau 111,389 kaki persegi. Bangunan berusia kira-kira 24 tahun itu kini kosong.

 

Harga pembelian sebanyak SGD103.88 juta ditentukan berdasarkan prinsip pembeli bersedia dan penjual bersedia, selepas mengambil kira nilai pasaran hartanah yang dinilai pada jumlah sama oleh penilai bebas.

 

Menyokong perkembangan operasi VTBU 

Pembelian itu akan dibiayai menerusi gabungan pinjaman bank sebanyak SGD77.4 juta (RM247.22 juta), hasil penyenaraian Mi Material Holding Limited di Papan Utama Singapore Exchange sebanyak SGD25.44 juta (RM81.26 juta) serta dana dalaman sebanyak SGD1.04 juta (RM3.32 juta).

 

Selain itu, kos sampingan berkaitan pengambilalihan, termasuk duti setem serta yuran usaha wajar perundangan dan teknikal, dianggarkan berjumlah SGD5.31 juta (RM16.96 juta) dan dijangka dibiayai menggunakan hasil penyenaraian Mi Material.

 

Menurut kumpulan itu, pengambilalihan berkenaan diperlukan bagi menyokong perkembangan operasi VTBU susulan kemajuan dalam pembangunan dan pengkomersialan sistem rangkaian kuasa elektrik serta komponen teras berkaitan, selain kejayaan menjana hasil pada separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

 

Ketika ini, VTBU mengendalikan kemudahan pembuatan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) dari premis sewaan di Hangzhou, Xi'an dan Chongqing, China, dengan jumlah keluasan binaan kira-kira 10,809 meter persegi.

 

Ibu pejabat VTBU pula beroperasi dari bangunan sewaan di Queenstown, Singapura, yang mempunyai keluasan binaan kira-kira 568 meter persegi.

 

VTBU akan meneruskan penyewaan ibu pejabat sedia ada sehingga tamat tempoh sewaan pada 30 November 2028 sebelum memindahkan operasi ke KHL Building.

 

Penjimatan RM1 juta sewa tahunan

Perpindahan itu dijangka menghasilkan penjimatan kos sewa tahunan kira-kira SGD330,000 (RM1.05 juta).

 

Kumpulan itu berkata, pemilikan bangunan berkenaan membolehkan penyatuan pelbagai fungsi strategik, operasi dan sokongan di satu lokasi, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi serta kerjasama merentasi operasi global.

 

Langkah itu juga dijangka memberikan kumpulan kawalan dan fleksibiliti lebih besar terhadap premis operasinya, selain mengurangkan ketidaktentuan berkaitan pembaharuan sewaan dan kemungkinan peningkatan kos sewa.

 

Selain menyokong pengembangan perniagaan VTBU, pengambilalihan itu turut membolehkan kumpulan menikmati potensi peningkatan nilai hartanah dari semasa ke semasa, sekali gus meningkatkan nilai kepada pemegang saham. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved