MIC serah kepada MB pilih Exco, yakin empat ADUN layak

LocalPolitics
14 Jul 2026 • 3:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MIC serah kepada MB pilih Exco, yakin empat ADUN layak
Raven Kumar

JOHOR BAHRU - MIC Johor menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam menentukan wakil parti itu yang bakal dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Pengerusi MIC Johor, K Raven Kumar berkata, parti itu tidak meletakkan sebarang syarat atau menamakan calon tertentu kerana keutamaan adalah memastikan pentadbiran negeri terus kukuh dan mampu memenuhi mandat rakyat.

"Kita tidak kisah siapa yang dipilih. Keempat-empat ADUN MIC mempunyai kredibiliti, pengalaman dan kemampuan untuk memikul tanggungjawab sebagai Exco.

"Yang penting, mana-mana wakil MIC yang diberi amanah nanti perlu memberikan khidmat terbaik, bekerja sebagai satu pasukan dan menyokong penuh kepimpinan Menteri Besar bagi memastikan agenda pembangunan Johor dapat diteruskan," katanya pada sidang akhbar di sini, pada Selasa.

Selain Raven Kumar, tiga lagi ADUN MIC adalah V Rugendran (Kahang); P Pannir Selvam (Perling) dan R Kumaran (Bukit Batu).

Barisan Nasional (BN) menang 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi 8 kerusi.

Tambah bekas Exco Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor itu, pihaknya tidak terlalu mengharap untuk dilantik semula sebagai Exco kerajaan negeri, tetapi bersedia jika diberikan tanggungjawab itu.

"Diri saya tidak penting, kesemua wakil rakyat MIC juga berkelayakan. Walaupun tiga lagi ADUN MIC adalah muka baharu tetapi mereka ada pengalaman luas termasuklah sebagai Ahli Majlis. Pengalaman dalam pentadbiran cukup meluas.

"Saya sendiri bermula menjadi wakil rakyat pada usia 29 tahun, jadi ini merupakan salah satu usaha kita untuk melahirkan pelapis kepimpinan dalam parti. Ini akan bantu pastikan MIC kekal relevan," katanya.

Raven Kumar turut memberitahu, kemenangan besar diperoleh MIC dan BN pada PRN Johor membuktikan pengundi Johor membuat pilihan masing-masing secara rasional, dan bukan mengikut emosi.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved