hamden19/08/2026 - 18:25 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Ogos - Midtown Group Bhd, dahulunya dikenali sebagai Pasukhas Group Bhd, mendapat tambahan nilai kontrak bagi pembinaan pusat data di Johor kepada RM73.34 juta selepas anak syarikat milik penuhnya menerima arahan perubahan (VO) daripada sebuah syarikat teknologi multinasional terkemuka.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Midtown berkata Midtown Engineering Sdn Bhd (MESB) pada 19 Ogos 2026 menerima VO kepada Surat Pelantikan (LOA) bertarikh 15 Disember 2025 daripada syarikat teknologi multinasional yang beribu pejabat di Amerika Syarikat itu.
Menurutnya, nilai asal kontrak projek berkenaan adalah RM63.6 juta, sebelum dinaikkan kepada RM73.34 juta susulan penerimaan VO tersebut.
Ini bermakna nilai kontrak meningkat kira-kira RM9.74 juta atau 15.3% berbanding nilai asal.
VO berkenaan akan bermula pada 19 Ogos 2026 dan dijangka siap pada 30 Januari 2027.
Midtown berkata VO itu melibatkan perubahan skop kerja di bawah LOA, namun tidak mengubah sifat projek pembinaan dan penyiapan pusat data tersebut.
Kumpulan menyifatkan VO itu sebagai pencapaian penting dalam usaha mengembangkan perniagaan secara strategik, selain dijangka mengukuhkan hasil dan kedudukan kewangan kumpulan selepas projek siap.
“VO ini merupakan satu pencapaian penting ke arah peluasan perniagaan strategik Syarikat dan dijangka mengukuhkan hasil serta kedudukan kewangan Syarikat selepas Projek disiapkan,” katanya.
Midtown berkata tiada risiko ketara yang dijangka daripada projek tersebut selain risiko operasi yang berkaitan dengan pelaksanaannya.
Dari segi kewangan, penerimaan VO tidak memberi kesan material terhadap modal saham diterbitkan atau pegangan pemegang saham utama kumpulan kerana tiada penerbitan saham biasa baharu.
Sebaliknya, VO itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan Kumpulan Midtown, walaupun tidak dijangka memberi kesan material serta-merta terhadap pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan tahap keberhutangan kumpulan. - DagangNews.com





