liza18/08/2026 - 12:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Ogos – HE Group Berhad dijangka mencatat keuntungan lebih tinggi pada separuh kedua 2026 (2H26) selepas memperoleh banyak kontrak baharu dan mempunyai buku tempahan pada paras rekod RM300 juta, menurut Phillip Capital.
Bagi tempoh enam bulan pertama 2026 (6M26), keuntungan bersih teras HE Group meningkat 31% kepada RM8 juta berbanding tempoh sama tahun lalu, selari dengan jangkaan Phillip Capital dan pasaran.
Hasil kumpulan turut meningkat 13.8% kepada RM72.4 juta didorong terutamanya oleh pertumbuhan kukuh dalam segmen sistem pengagihan kuasa yang melonjak 150.8% kepada RM64.1 juta.
Keuntungan sebelum cukai meningkat 25.6% kepada RM10.1 juta manakala keuntungan bersih naik 26.7% kepada RM7.7 juta dalam tempoh sama.
Margin keuntungan bersih kumpulan pula mencapai 10.7%, lebih tinggi daripada anggaran Phillip Capital sebanyak 7%, menunjukkan keupayaan HE Group menjana keuntungan lebih baik daripada jangkaan.
Prestasi Suku Kedua Semakin Kukuh
Pada suku kedua 2026 (2Q26), hasil HE Group melonjak 75.8% berbanding suku sebelumnya kepada RM46.1 juta dan meningkat 44% berbanding setahun lalu.
Keuntungan bersih teras pula meningkat 107.8% berbanding suku sebelumnya kepada RM5.2 juta, manakala pertumbuhan tahun ke tahun mencapai 71.5%.
Bagi 6M26, EBITDA meningkat 34.4% kepada RM10.5 juta dan marginnya bertambah 2.2 mata peratusan kepada 14.5%.
Prestasi margin yang lebih baik itu mendorong Phillip Capital menaikkan unjuran keuntungan HE Group bagi 2027 dan 2028 sebanyak 17%.
Kontrak Baharu Jadi Pemacu Pertumbuhan
HE Group memperoleh kontrak baharu bernilai RM280 juta dalam 6M26, jauh lebih tinggi berbanding purata tiga tahun sebelumnya sebanyak RM87 juta.
Firma penyelidikan itu berkata pencapaian tersebut meletakkan kumpulan pada landasan untuk mencapai sasaran memperoleh kontrak baharu RM400 juta bagi 2026.
“Kontrak baharu tersebut meningkatkan buku tempahan HE Group kepada RM300 juta dengan kira-kira 45% daripadanya terdiri daripada projek pusat data.
“Kami menjangka pengiktirafan hasil akan meningkat pada 2H26 apabila projek baharu mula memasuki fasa pelaksanaan yang lebih pantas, selain menjangkakan momentum kontrak baharu terus kukuh,” katanya.
Berdasarkan prospek itu, Phillip Capital mengekalkan saranan ‘Beli’ dan menaikkan sasaran harga 12 bulan HE Group kepada RM1.30 daripada RM1 sebelum ini.
Sasaran baharu itu menggunakan gandaan harga kepada keuntungan (PE) 20 kali bagi unjuran pendapatan sesaham 2027, berbanding 18 kali sebelum ini. Pada harga penutup RM0.88, sasaran itu menunjukkan potensi pulangan 47.7%.
Namun, risiko utama ialah pertumbuhan buku tempahan yang lebih perlahan daripada jangkaan, kelewatan projek dan lebihan kos. - DagangNews.com






