Mina Nasi Kandar jadi restoran pertama milik rakyat Malaysia di Phu Quoc, Vietnam

LocalFood
20 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mina Nasi Kandar jadi restoran pertama milik rakyat Malaysia di Phu Quoc, Vietnam Image from: Mina Nasi Kandar jadi restoran pertama milik rakyat Malaysia di Phu Quoc, Vietnam liza20/09/2026 - 09:00 Mina Nasi Kandar tawarkan pelbagai pilihan makanan halal kepada pelancong Muslim yang berkunjung ke Phu Quoc di Vietnam Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN yang menyertai lawatan media Sun PhuQuoc Airways liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Sept – Kesukaran mendapatkan makanan halal di Phu Quoc, Vietnam mendorong seorang usahawan Malaysia membuka restoran nasi kandar pertama di pulau peranginan itu.

 

Mina Nasi Kandar yang dimiliki Dr Nash Ramesh, 52 bersama rakan kongsinya yang ingin dikenali sebagai Azman mula dibuka pada 28 Julai 2026 dengan objektif menawarkan lebih banyak pilihan makanan halal kepada pelancong Muslim yang datang bercuti ke Phu Quoc.

 

Beliau yang berasal dari Taiping berkata prosedur untuk memulakan perniagaan di Phu Quoc agak mudah kerana isterinya, Van Anh, 37 adalah penduduk Vietnam.

 

“Ketika rakan kongsi saya (Azman) datang ke Phu Quoc tiga bulan lalu, beliau menyatakan agak sukar mendapatkan makanan halal yang menepati seleranya sepanjang percutian.

 

“Beliau yang mencetuskan idea untuk kami membuka restoran ini dan Mina Nasi Kandar kini menjadi restoran pertama yang menawarkan menu nasi kandar di seluruh Vietnam serta restoran pertama milik rakyat Malaysia di Phu Quoc,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media yang menyertai lawatan empat hari tiga malam ke Phu Quoc bermula 15 September 2026 anjuran Sun PhuQuoc Airways (SPA).

 

Program dengan kerjasama Wifadah Travel & Tours sebagai General Sales Agent (GSA) dan wakil komersial syarikat penerbangan itu di Malaysia adalah untuk memperkenalkan kemudahan terbaharu yang boleh menjadi daya tarikan kepada pelancong Muslim sepanjang berada di Phu Quoc.

 

Nash berkata, Mina Nasi Kandar sangat mementingkan aspek halal termasuk mendapatkan sumber produk daripada Vietnam National Halal (VNH) yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

 

t
Kakitangan pasar raya yang menjual barangan halal mempamerkan antara produk jualan mereka di Mina Nasi Kandar

 

Jaga sumber bahan masakan termasuk garam

Menurutnya, restoran itu mendapatkan bahan dan produk daripada sumber halal berkenaan, malah garam yang digunakan dalam penyediaan makanan turut dibeli daripada VNH.

 

“Malah, kakitangan mereka juga sering membuat pemeriksaan mengejut ke Mina Nasi Kandar bagi menjalankan audit bagi memastikan bahan yang digunakan memenuhi keperluan halal.

 

“Oleh itu, kami sangat menjaga status halal semua bahan masakan ini demi mengekalkan pensijilan halal VNH yang diiktiraf JAKIM kerana ia sangat penting untuk memberikan keyakinan kepada pelanggan Muslim yang berkunjung ke restoran khususnya pelancong dari Malaysia,” katanya yang kerap pulang ke Malaysia untuk mengambil bekalan belacan setiap dua atau tiga bulan.

 

Dari segi sambutan, beliau berkata restoran itu menerima banyak kumpulan pelancong, termasuk menerusi Bismillah Tour Group yang disifatkannya sebagai antara pengendali kumpulan pelancongan besar di Vietnam.

 

Menurutnya, kumpulan berkenaan boleh membawa sekitar 60 hingga 70 pelanggan ke restoran itu setiap hari, yang disifatkan sangat memberangsangkan sepanjang tempoh hampir dua bulan ia beroperasi.

 

“Kebiasaannya, Mina Nasi Kandar menyediakan lima pilihan makanan untuk sarapan pagi iaitu nasi lemak, roti canai serta tiga menu Vietnam yang lain. Apa yang buat kami teruja apabila ramai pelancong asing turut menjadikan roti canai sebagai menu utama mereka,” katanya.

 

t
Dr Nash Ranesh

 

Nasi Kandar bermula Oktober

Jelasnya, hidangan Nasi Kandar hanya akan diperkenalkan secara rasmi mulai 1 Oktober 2026, bertepatan dengan tempoh puncak industri pelancongan di Phu Quoc.

 

“Buat masa ini, kami hidangkannya jika mendapat tempahan dalam jumlah yang besar dan antara lauk Nasi Kandar yang menjadi pilihan pelancong ialah ayam masak kicap, ayam madu dan ayam rempah, manakala daging masak kicap pula diketengahkan sebagai hidangan utama yang sinonim dengan restoran,” katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Phu Quoc pikat pelancong Muslim menerusi kemudahan solat dan jaminan makanan halal

 

Empat chef pernah bekerja di Malaysia

Bagi memastikan pelanggan dapat menikmati hidangan yang menepati citarasa, restoran itu mempunyai empat chef dari India yang pernah bekerja di Malaysia, termasuk di restoran Nasi Kandar.

 

Selain empat chef berkenaan, pemilik restoran itu turut mendapatkan khidmat seorang konsultan makanan dari Malaysia yang akan datang ke restoran setiap tiga bulan bagi memeriksa makanan yang disediakan.

 

Dari segi rempah ratus pula, beliau yang turut mengusahakan perniagaan logistik di Ho Chi Minh berkata semua hidangan kari dan masakan restoran menggunakan produk Baba’s.

 

“Saya adalah pengedar tunggal Baba’s di Vietnam dan bekerjasama dengan jenama berkenaan untuk membawa produk tersebut ke pasaran Vietnam.

 

“Untuk daging pula, ia diperoleh daripada pasaran halal yang diiktiraf VNH bagi memastikan sumber makanan yang digunakan restoran memenuhi keperluan pelanggan Muslim,” katanya.

 

t

 

Sediakan ruang solat untuk pelanggan Muslim

Selain makanan, restoran itu turut menyediakan minuman yang biasa dinikmati di Malaysia termasuk Teh Tarik, Teh O, Milo, Nescafe dan limau ais.

 

Beliau berkata, restoran berkenaan cuba memenuhi permintaan pelanggan dan tidak akan mudah menolaknya sekiranya permintaan tersebut boleh disediakan.

 

“Kami juga menyediakan ruang solat kerana kira-kira 90% pelanggan terdiri daripada golongan Muslim.

 

“Setakat ini, pelanggan restoran bukan sahaja datang dari Malaysia, malah turut merangkumi pelancong dari Timur Tengah, India, China, Singapura dan Brunei,” katanya yang kini mempunyai 11 kakitangan untuk mengendalikan operasi Mina Nasi Kandar.

 

t

 

Phu Quoc jadi tarikan pelancong Muslim

Ketika ini, beliau melihat Phu Quoc sedang melalui fasa baharu apabila semakin ramai pelancong Muslim berkunjung ke pulau peranginan tersebut.

 

Katanya, perkembangan itu turut mendorong permintaan terhadap makanan halal yang semakin meningkat di Phu Quoc.

 

“Phu Quoc sedang melalui fasa untuk menerima lebih ramai tetamu Muslim. Sebab itu makanan halal semakin berkembang dan meningkat dengan cepat di Phu Quoc,” katanya.

 

Beliau berkata, pelanggan dari Timur Tengah juga antara pelancong yang banyak memberikan sokongan kepada restoran berkenaan, selain pelancong dari China, India, Singapura, Malaysia dan Brunei.

 

“Selain itu, semakin ramai rakyat Vietnam yang turut melancong ke Malaysia dan sudah mengenali makanan seperti Nasi Kandar serta roti canai dan mereka seronok apabila dapat menikmatinya semula di sini.

 

“Apa yang penting ialah kepuasan dikecapi apabila dapat menyediakan makanan halal yang boleh dinikmati tanpa sebarang keraguan.

 

“Saya orang Malaysia dan saya tahu betapa pentingnya halal di Malaysia. Kami tidak akan berkompromi mengenai halal,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved