amree09/09/2026 - 12:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Sept — Lebih 90% buku tempahan terkumpul CBH Engineering Holding Berhad daripada keseluruhan yang berjumlah RM891.7 juta kini berkaitan dengan pelbagai projek pusat data (DC).
Menurut Public Investment Bank (PublicInvest), keadaan tersebut mencerminkan kebergantungan tinggi syarikat berkenaan terhadap ledakan pelaburan DC di Malaysia untuk memperoleh pelbagai kontrak.
Ia namun kekal positif terhadap prospek kumpulan berikutan peluang tender yang kukuh, selepas anak syarikatnya, CBH Engineering Sdn Bhd memperoleh kontrak RM88.1 juta bagi sebuah DC di Selangor.
"Kontrak diraih CBH Engineering itu bagi penyediaan prasarana pengehosan dan khidmat pemprosesan data yang bermula 13 Ogos 2026 serta dijangka siap menjelang 12 Mei 2027," kata firma tersebut.
Dengan kontrak terbaharu itu, buku tempahannya meningkat, manakala buku tender kekal kukuh RM1 bilion, yang dilihat PublicInvest akan memberi keterlihatan pertumbuhan hasil beberapa tahun.
Susulan momentum kontrak yang kukuh, ia menaikkan anggaran penambahan buku tempahan FY26 kepada RM800 juta berbanding RM600 juta dan menaikkan unjuran keuntungan hingga FY28 secara purata 17%.
Sementara itu, kontrak baharu diperoleh CBH Engineering mampu menjana RM13.2 juta sepanjang tempoh pelaksanaan, berdasarkan andaian margin keuntungan dalam lingkungan pertengahan belasan peratus.

"Tender berkenaan dijangka terus memperkukuhkan pendapatan ketika kumpulan tersebut berusaha meningkatkan penglibatan dalam projek prasarana elektrik berkapasiti tinggi," kata PublicInvest.
Ujarnya, permintaan tinggi DC kekal disokong peningkatan perbelanjaan syarikat teknologi gergasi terhadap infrastruktur kecerdasan buatan (AI), yang memperuntukkan banyak pelaburan pada 2026.
Firma itu turut menjangkakan permintaan akhir ke atas CBH Engineering kekal berdaya tahan walaupun konflik di rantau Timur Tengah boleh meningkatkan kos peralatan import dan caj pengangkutan.
Cabaran ketara dalam tempoh terdekat ialah kapasiti penghantaran grid bagi memenuhi keperluan besar tenaga projek DC, namun PublicInvest melihat kekangan itu tidak menjejaskan prestasi kumpulan.
"Kepakaran teras syarikat ini adalah dalam infrastruktur elektrik, sekali gus membuka peluang untuk mendapat banyak manfaat daripada keperluan peningkatan sistem bekalan tenaga domestik," jelasnya.
Bagaimanapun bagi mengurangkan kebergantungan terhadap DC dalam jangka panjang, CBH Engineering meneroka peluang pelbagai sumber hasil termasuk dalam sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).
Justeru PublicInvest menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.16, berdasarkan 20 kali anggaran pendapatan sesaham (EPS) FY27, selain mengekalkan saranan ‘outperform’. - DagangNews.com





