
SHAH ALAM: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan perlombongan haram selepas menggempur tujuh lokasi berasingan di tiga negeri menerusi Ops Gali Mega, dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM13.26 juta.
Komander Briged Tengah PGA SAC Hakemal Hawari berkata, operasi bagi membanteras kegiatan itu bermula pada 11 pagi Rabu, meliputi kawasan Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
“Secara keseluruhan seramai 31 individu diperiksa dalam operasi berkenaan dengan 15 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan,” katanya selepas meninjau tapak haram selepas serbuan tersebut di sini malam tadi.
Sementara itu, Hakemal berkata serbuan terbaharu pada 3.30 petang semalam menyasarkan sebuah tapak operasi haram berkeluasan 0.647 hektar di kawasan Jalan Lapangan Terbang Subang Lama, yang dipercayai memproses pasir tanpa kebenaran.
Beliau berkata operasi dilaksanakan secara bersepadu dengan mendapat kerjasama daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
“Hasil serbuan di tapak tersebut berjaya menahan 12 orang terdiri daripada lima lelaki warga tempatan dan tujuh lelaki warga asing. Pasukan operasi turut merampas 1,500 tan pasir, jentera berat serta peralatan mencuci dan memproses pasir dengan nilai rampasan di lokasi ini sahaja dianggarkan RM5 juta,” katanya.
Menyentuh mengenai modus operandi sindiket, Hakemal berkata pasir berkenaan dipercayai dibawa masuk dari kawasan luar termasuk sisa tapak pembinaan untuk dicuci dan diproses menjadi pasir halus, sebelum dijual pada harga sekitar RM500 hingga RM600 bagi sebuah lori.
Katanya kegiatan memproses pasir yang kebiasaannya beroperasi pada waktu siang itu turut melepaskan sisa basuhan tanah secara terus ke dalam sungai berhampiran, sekali gus mengakibatkan pencemaran dan kekeruhan air yang ketara.
Beliau berkata kesemua tangkapan disiasat mengikut Akta Kanun Tanah Negara 1965, Enakmen LUAS 1999, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Undang-Undang Kecil 2021.
Hakemal menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mendapati sebarang kegiatan mencurigakan di kawasan masing-masing. – BERNAMA
The post Lombong pasir haram di tiga negeri diserbu, nilai rampasan RM13.26 juta appeared first on Utusan Malaysia.






