
KUALA LUMPUR – Sebuah penthouse hotel di Jalan Ampang di sini, dipercayai dijadikan ‘mini kasino’ untuk kegiatan perjudian poker sebelum diserbu polis awal pagi tadi.
Serbuan menerusi Op Tembok kira-kira pukul 1.50 pagi itu membawa kepada penahanan 16 individu berusia antara 26 hingga 50 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 14 lelaki dan seorang wanita warga China serta seorang lelaki warga Nepal.
“Hasil siasatan mendapati kediaman tersebut dijadikan lokasi bagi menjalankan perjudian mini kasino jenis permainan poker.
“Mereka mendapat jemputan daripada kenalan rapat dan kegiatan perjudian itu melibatkan warga China sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, polis turut merampas sebuah meja, tujuh kerusi, sekeping kad akses, dua set dadu, sekeping kad dealer serta 214 keping cip pelbagai warna bernilai keseluruhan RM5,180.
Turut dirampas ialah 52 keping daun terup dan wang tunai berjumlah RM1,000.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua suspek akan dibawa ke hadapan Majistret bagi permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah hari ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Dalam pada itu, Fadil menasihatkan orang ramai supaya menjauhi sebarang bentuk aktiviti perjudian dan menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi mengekang kegiatan berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan perjudian atau kesalahan jenayah boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE
The post Mini kasino dalam ‘penthouse’ hotel diserbu, 16 ditahan appeared first on Kosmo Online.






