
REKOD kebal Tan Cheng Hoe menentang Thailand menjadi sandaran ‘psikologi’ Harimau Malaya dalam misi meraih keputusan positif ketika menentang Thailand dalam aksi Kumpulan B saingan Piala ASEAN 2026 di Stadium Rajamangala, Bangkok malam ini.
Sebagai rekod, Cheng Hoe boleh dikatakan memiliki ‘magis’ berbeza ketika mementang seteru Asia Tenggara itu apabila belum tewas dalam empat pertemuan dengan dua keputusan seri dan dua kemenangan.
Namun, pengendali interim Harimau Malaya itu sedar cabaran ketika menentang skuad Gajah Perang di tempat jauh lebih sukar berbanding ketika bertemu Laos dan Myanmar dengan rekod lampau tidak boleh dijadikan sebagai kayu ukuran.
“Sebagai jurulatih, kita perlu bersedia sebaik mungkin. Dalam bola sepak, walaupun kadang-kadang anda ada pemain yang terbaik, anda belum tentu boleh menang lagi.
“Sebab itulah dengan mentaliti positif dan pemain berpengalaman yang kita ada serta keinginan pemain muda untuk beraksi di pentas ini, kita akan cuba memberikan aksi yang terbaik,” katanya.
Mengulas lanjut, Cheng Hoe yang pernah membimbing kelab Thailand, Police Tero FC mengakui ini adalah ujian sebenar untuk menguji kekuatan barisan pemain.
“Perlawanan menentang Thailand sudah pasti satu ujian sebenar untuk menilai tahap terbaik pasukan kita sama ada kita mampu menyerap tekanan itu atau sebaliknya.
“Bagi saya sebagai jurulatih, saya melihat perlawanan ini lebih daripada sudut pendedahan berbanding kemenangan kerana kita masih belum mengetahui sejauh mana kekuatan sebenar pasukan kita. Inilah ujian terbaik buat pasukan.
“Apa yang penting adalah prestasi setiap pemain untuk dapatkan keyakinan dan momentum terbaik. Kita mengharapkan kita meraih satu keputusan yang memihak kepada kita untuk peringkat yang seterusnya nanti,” katanya.
Skuad negara yang sudah meraih enam mata bakal mengesahkan slot ke separuh akhir lebih awal jika berjaya menewaskan skuad kendalian Anthony Hudson nanti.
The post Piala ASEAN: Bersandar rekod kebal Cheng Hoe appeared first on Kosmo Digital.






