Misteri kehilangan 11 hari terjawab, mayat ditemui dalam kebun getah

21 Jun 2026 • 4:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Misteri kehilangan 11 hari terjawab, mayat ditemui dalam kebun getah
Lokasi mayat mangsa ditemukan dalam sebuah kebun getah di Felda Teloi Timur, Sik.
Image from: Misteri kehilangan 11 hari terjawab, mayat ditemui dalam kebun getah
Asmadi

SIK - Kehilangan seorang lelaki selepas 11 hari pencarian akhirnya terjawab apabila mayat ditemukan berhampiran motosikalnya dalam sebuah kebun getah di Felda Teloi Timur di sini pada Ahad.

Anak mangsa, Nurul Atirah Nadira, 23, terkejut dimaklumkan jasad bapanya Asmadi Ibrahim, 58, ditemui kira-kira jam 12.30 tengahari.

"Terkejut juga dapat tahu, walaupun sedih namun tetap reda dengan kejadian yang menimpa," katanya.

Dalam masa sama, Nurul Atirah bersyukur apabila ayahnya telah ditemui.

**media[3557922]**

"Setiap hari bimbang sebab tak tahu keadaan ayah bagaimana, memikirkan dia selamat atau tidak, tapi bila dah jumpa Alhamdulillah terima kasih semua yang bantu," katanya.

Jelasnya, bermacam cara ikhtiar telah dilakukan dalam tempoh pencarian termasuk mengadakan majlis bacaan Yassin dan solat hajat supaya usaha pencarian lancar.

"Kali terakhir jumpa ayah ketika Hari Raya Aidiladha lalu.

"Tiada apa-apa perubahan tetapi tengok ayah gembira melayan cucunya," katanya.

Namun, semasa polis membuat pemeriksaan dalam bilik selepas kehilangan mendapati keadaan bilik ayahnya teratur dan kemas berbanding sebelum ini agak tidak terurus kerana tinggal bersama bapa mentua, Taharin Abdullah, 80, setelah kematian isterinya.

"Bilik ayah bersih, tersusun rapi, tempat sembahyangnya bersih, Al-Quran, kopiah semuanya tiada habuk, baju Melayunya semua wangi, tempat tidurnya kemas elok berbanding sebelum ini keadaannya agak bersepah.

"Ayah tiada sebarang penyakit, saya sedih kerana ayah pergi tanpa kami di sisinya namun reda dengan ketentuan Ilahi," katanya.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa dikatakan keluar mencari rumput untuk diberi makan kepada kambing.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Teloi Timur selepas selesai proses bedah siasat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved