
TAPAH, 6 Jun — Misteri kehilangan seorang pendaki wanita di kawasan Gunung Batu Putih sejak 23 Mei lalu akhirnya terjawab apabila mangsa ditemukan dalam keadaan selamat petang ini.
Mangsa, Jaslinda Saludin, 49, dilaporkan ditemui oleh komuniti Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu berhampiran Pos Musoh sebelum penemuan tersebut dimaklumkan kepada pihak berkuasa.
Ketua Polis Perak, Datuk Alwi Zainal Abidin mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media dan memaklumkan kenyataan rasmi berhubung penemuan mangsa akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Terdahulu, beberapa gambar yang dipercayai memaparkan Jaslinda berada di sebuah rumah komuniti Orang Asli di kawasan berkenaan mula tular di media sosial.
Sementara itu, Penyelaras Sukarelawan Orang Asli, Chew Ho Beng, turut mengesahkan mangsa ditemukan oleh penduduk kampung di kawasan perkampungan Orang Asli Lubuk Gaharu.
Berdasarkan foto yang dikongsikan, Jaslinda kelihatan berada dalam keadaan baik dan sedang menikmati mi segera di sebuah pondok milik penduduk setempat.
Operasi SAR Tarik Perhatian Ramai
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad turut mengesahkan penemuan tersebut, namun belum mengulas lanjut mengenai keadaan mangsa.
Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 pendaki lain serta dua malim gunung profesional (MGP) pada 23 Mei lalu.
Pendakian berkenaan bermula dari laluan Pos Gedung menuju ke Gunung Bah Gading, Gunung Batu Putih dan berakhir di Kuala Woh.
Menurut laporan terdahulu, Jaslinda dan seorang lagi peserta mengalami masalah kesihatan ketika pendakian. Namun, beliau dipercayai meneruskan perjalanan sebelum dilaporkan hilang dan kali terakhir dilihat pada 24 Mei.
Penemuan Jaslinda menamatkan operasi mencari dan menyelamat yang mendapat perhatian ramai sejak lebih dua minggu lalu. – The Malaysian Update
Sokong TMU
Jika anda menghargai usaha TMU dalam menyampaikan berita, maklumat dan isu semasa yang bermanfaat, anda boleh memberi sokongan secara sukarela.
Sokongan anda membantu kami terus menghasilkan laporan, artikel dan kandungan berkualiti untuk rakyat Malaysia.
The post Selepas 15 Hari Hilang Di Gunung Batu Putih, Pendaki Wanita Ditemui Selamat appeared first on The Malaysian Update.






