naim07/09/2026 - 11:13 Spesies orang utan yang kini semakin terancam habitatnya. Gambar: Naim Aziz / DagangNews Oleh MOHAMMAD NAIM AZIZ naim@dagangnews.com TAIPING 7 Sept – Pembangunan ekonomi yang mampan kini tidak lagi hanya diukur berdasarkan keuntungan korporat, sebaliknya turut mengambil kira keupayaan sektor swasta mengimbangi pertumbuhan industri dengan kelestarian alam sekitar.
Pendekatan itu turut diterapkan MK Land Holdings Berhad (MK Land) menerusi ekosistem pembangunan di Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) dan Pulau Orang Utan Bukit Merah, Kerian, Perak, yang menggabungkan elemen pelancongan, pemuliharaan biodiversiti serta inisiatif tenaga boleh diperbaharui (RE).
Antara komponen penting ekosistem berkenaan ialah Pulau Orang Utan Bukit Merah sebuah pusat pemuliharaan khusus yang memainkan peranan dalam melindungi spesies orang utan yang semakin terancam.

Pusat yang ditubuhkan di bawah Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah itu kini disokong seramai 17 kakitangan, termasuk tujuh renjer yang bertugas di lapangan serta dua petugas veterinar terdiri daripada seorang doktor dan seorang jururawat bagi sokongan klinikal harian.
Pengerusi Eksekutif MK Land, Felina Mustapha Kamal berkata, usaha pemuliharaan orang utan bukan semata-mata bertujuan melindungi spesies berkenaan, tetapi turut menjadi platform pendidikan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kepentingan ekosistem dan biodiversiti.
“It’s education to understand, to make sure you know… oh ada benda (projek pemuliharaan) ini. Mari kita sama-sama buat,” katanya kepada DagangNews ketika ditemui pada program ‘Bukit Merah Media Familiarisation Trip’, pada 5 dan 6 Sept 2026.

Beliau turut menyuarakan hasrat supaya satu hari nanti saintis dapat menjalankan kajian secara lebih dekat dengan habitat orang utan, termasuk melalui konsep rumah atas pokok bagi membolehkan pemerhatian dan penyelidikan dilakukan secara langsung.
Katanya, beberapa perancangan penambahbaikan pusat berkenaan dijangka dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Lebih dua dekad pelihara orang utan
Usaha konservasi di Pulau Orang Utan bermula pada tahun 2000 dengan penempatan awal empat ekor orang utan yang dibawa khas dari Sarawak.
Sepanjang tempoh lebih dua dekad, populasi orang utan di pulau berkenaan pernah mencecah 28 ekor sebelum menyusut disebabkan pelbagai faktor, termasuk isu kesihatan.

Kini, populasi di pusat berkenaan stabil pada 15 ekor, dengan pihak pengurusan terus memperkukuh kerjasama strategik dan program pertukaran bersama zoo utama di Semenanjung Malaysia seperti Zoo Taiping dan Zoo Melaka bagi menyokong usaha pembiakan.
Ketua Pengurusan Pulau Orang Utan, Nurhafizie Mohamad Hapiszudin berkata, orang utan mempunyai diet yang pelbagai sebagai haiwan omnivor, dengan durian menjadi antara makanan kegemaran spesies berkenaan.

“Makanan kegemaran dia adalah durian. Yang kedua buah kelapa, di samping bekalan buah-buahan tambahan yang disediakan secara harian oleh renjer,” katanya.
Sasar kapasiti habitat sehingga 60 ekor
Dalam usaha memperkukuh ekosistem pemuliharaan, pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) turut dilaksanakan, termasuk pembinaan buaian gergasi dan penanaman pokok buah-buahan bagi membantu memperkayakan habitat orang utan.
Penasihat Yayasan, Azmil Khuzaid Zakaria berkata, pihaknya sedang meneliti cadangan penambahbaikan yang berpotensi meningkatkan kapasiti habitat kepada sekitar 50 hingga 60 ekor orang utan, dengan anggaran kos kira-kira RM20 juta.
Pada masa ini, habitat orang utan meliputi kawasan seluas kira-kira lima ekar daripada keseluruhan 15 ekar tanah yang diperuntukkan bagi tujuan tersebut.

Pada masa ini, habitat orang utan meliputi kawasan seluas kira-kira lima ekar daripada keseluruhan 15 ekar tanah yang diperuntukkan bagi tujuan tersebut.
Menurut beliau, pihak pengurusan turut merangka peluasan kawasan habitat antara lima hingga 10 ekar lagi pada masa hadapan bagi menyediakan ruang yang lebih luas dan bersesuaian dengan keperluan spesies berkenaan.

Bukit Merah sebagai destinasi mampan
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi – Operasi Kumpulan MK Land, Ahmad Soalahuddin Al-Thani Ahmad Termizi berkata, program media berkenaan dirangka bagi memberikan gambaran menyeluruh mengenai usaha berterusan kumpulan dalam memperkukuh daya tarikan Bukit Merah sebagai sebuah destinasi pelancongan.
“Bagi kami, pembangunan bukan sekadar tentang membina sesuatu yang baharu, tetapi bagaimana kita menghidupkan sesebuah destinasi, menjaga alam semula jadi sekeliling dan memastikan kisahnya terus relevan untuk generasi akan datang,” katanya.

Program selama dua hari satu malam itu disertai kira-kira 50 pengamal media daripada pelbagai organisasi arus perdana dan portal.
Ia mengetengahkan Bukit Merah daripada perspektif berbeza, merangkumi keindahan alam semula jadi, usaha pemuliharaan, hospitaliti, inisiatif tenaga boleh diperbaharui serta pengalaman rekreasi untuk seisi keluarga.
Perjalanan bermula dari KL Sentral menggunakan Electric Train Service (ETS) menuju ke Parit Buntar dengan tempoh perjalanan kira-kira tiga jam 30 minit, sebelum peserta meneruskan perjalanan ke kawasan Bukit Merah.

Tasik Bukit Merah yang menjadi antara mercu tanda utama kawasan berkenaan merupakan tasik buatan manusia tertua di Malaysia, dibina sekitar 1906 dan terus menjadi sebahagian daripada warisan serta landskap semula jadi kawasan tersebut.
Pulau Orang Utan pula terletak kira-kira 10 minit perjalanan menggunakan bot dari jeti utama dan menawarkan pengalaman kepada pengunjung untuk melihat orang utan dalam persekitaran habitat yang dilindungi.- DagangNews.com




Gambar: Naim Aziz / DagangNews

Gambar: Naim Aziz / DagangNews






