MMAG catat kerugian terkumpul RM128.60 juta, EGM 5 Nov undi cadangan pengurangan modal

LocalBusiness & Finance
13 Oct 2026 • 3:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MMAG catat kerugian terkumpul RM128.60 juta, EGM 5 Nov undi cadangan pengurangan modal Image from: MMAG catat kerugian terkumpul RM128.60 juta, EGM 5 Nov undi cadangan pengurangan modal johardy13/10/2026 - 15:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Okt - MMAG Holdings Berhad, syarikat yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan perniagaan merangkumi perkhidmatan kurier dan logistik, kargo udara, pemenuhan pesanan e-dagang serta teknologi, memohon kelulusan pemegang saham untuk mengurangkan modal saham diterbitkannya sehingga RM130 juta bagi menghapuskan kerugian terkumpul.

 

Syarikat itu mencatatkan kerugian terkumpul sebanyak RM128.60 juta pada 30 Jun 2026, manakala kerugian terkumpul di peringkat kumpulan berjumlah RM168.56 juta, menurut pekeliling kepada pemegang saham bertarikh 13 Oktober 2026 yang difailkan kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Cadangan pengurangan modal di bawah Seksyen 117 Akta Syarikat 2016 itu akan menghasilkan kredit perakaunan sehingga RM130 juta bagi menghapuskan kerugian terkumpul di peringkat syarikat, dengan jumlah sebenar ditentukan berdasarkan akaun pengurusan terkini selepas mendapat kelulusan pemegang saham.

 

MMAG berkata, langkah itu akan memperkemas kunci kira-kiranya dan memberikan gambaran lebih jelas mengenai struktur modal kepada bank, pelabur, pelanggan serta pembekal, tanpa memperoleh dana baharu atau meningkatkan kecairan syarikat.

 

Pemegang saham akan mengundi cadangan berkenaan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 5 November 2026, dengan pelaksanaannya dijangka selesai pada suku pertama 2027, tertakluk kepada kelulusan dan prosedur berkanun yang diperlukan. M&A Securities Sdn Bhd berperanan sebagai penasihat utama.

 

MMAG mengaitkan kerugian terkumpulnya dengan proses penstrukturan semula dan pengembangan perniagaan sepanjang dua dekad, khususnya peralihan daripada teknologi maklumat dan pengedaran perkakasan kepada perkhidmatan kurier, logistik rantaian bekalan serta penerbangan menerusi pelaburannya dalam MJets Air Sdn Bhd.

 

Perbelanjaan modal awal yang tinggi, peluasan hab logistik, kos operasi pesawat dan persaingan sengit menyumbang kepada kerugian berterusan, manakala kenaikan harga bahan api serta permintaan penerbangan sewa khas yang lebih lemah terus memberi tekanan kepada operasinya, menurut pekeliling itu.

 

Bagi tempoh kewangan 18 bulan berakhir 31 Mac 2026, MMAG mencatatkan hasil sebanyak RM1.32 bilion, meningkat 59.61% daripada RM824.37 juta dalam tempoh 18 bulan sebelumnya, dipacu terutamanya oleh perniagaan penerbangan serta peranti mudah alih dan pemenuhan pesanan.

 

Walaupun hasil meningkat, kumpulan itu masih mencatatkan kerugian bersih yang boleh dikaitkan dengan pemilik syarikat sebanyak RM79.24 juta, berbanding RM95.58 juta sebelumnya, apabila prestasinya terjejas oleh kerugian rosot nilai aset kewangan sebanyak RM32.28 juta dan aset bukan kewangan sebanyak RM41.71 juta.

 

Pemegang saham utama MMAG

Antara pemegang saham utama MMAG yang direkodkan dalam pendedahan korporat terdahulu ialah Future Star Sdn Bhd, yang dimiliki sepenuhnya oleh pelabur Cheah Min Lly, serta Datasonic Group Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai NexG Bhd.

 

Menurut pengumuman pindaan pegangan saham utama kepada Bursa Malaysia bertarikh 12 Januari 2026, kepentingan tidak langsung Cheah menerusi Future Star berjumlah 468.02 juta saham atau 20.163% ketika itu, manakala pendedahan korporat berasingan pada Januari menunjukkan Datasonic, yang ketika itu menggunakan nama NexG, memiliki 220 juta saham atau kira-kira 9.48%.

 

Future Star memperoleh sebanyak 462 juta saham MMAG yang sebelum itu dipegang oleh Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak pada Disember 2025, selepas itu Farhash tidak lagi menjadi pemegang saham utama syarikat berkenaan.

 

Sementara itu, MMAG sedang melaksanakan langkah meningkatkan kecekapan operasi, termasuk melupuskan kenderaan yang kurang digunakan, mengoptimumkan penggunaan kenderaan penghantaran serta memperkenalkan sistem penimbangan, pengisihan dan penjejakan bungkusan secara automatik bagi mengurangkan kos operasi.

 

Kumpulan itu turut memperkukuh usaha kutipan dan pemulihan hutang dalam perniagaan perkhidmatan kewangannya, selain mengenakan penilaian kredit serta kawalan risiko yang lebih ketat terhadap aktiviti pemberian pinjaman baharu.

 

Setakat 1 Oktober 2026, MMAG mempunyai modal saham diterbitkan sebanyak RM298.30 juta yang merangkumi kira-kira 2.32 bilion saham.

 

Berdasarkan senario pengurangan maksimum RM130 juta, modal saham diterbitkan akan berkurangan kepada RM168.30 juta tanpa mengubah bilangan saham, dengan andaian tiada waran tertunggak dilaksanakan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved