
CYBERJAYA – Universiti Multimedia (MMU) berkabung sehingga Jumaat ini sebagai tanda penghormatan atas pemergian Canselor pertamanya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, yang menghembuskan nafas terakhir, semalam.
Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud berkata, seluruh warga universiti bersedih dengan pemergian Allahyarham yang disifatkan mempunyai hubungan amat rapat dengan MMU sejak dilantik sebagai canselor pertama pada 1997.
“Seluruh warga MMU mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Tun Siti Hasmah dan MMU berkabung sehingga Jumaat ini,” katanya ketika ditemui pada Bengkel Kecerdasan Buatan untuk Pengamal Media Profesional anjuran MMU, di sini tadi.
Sebagai tanda penghormatan, MMU turut mengibarkan bendera pada separuh tiang bermula semalam hingga Jumaat ini.
MMU juga akan mengadakan majlis tahlil di Surau Al-Hidayah, kampus MMU Cyberjaya dan Surau Al-Irsyad di kampus MMU Melaka pada Khamis dan setiap kali selepas solat Zohor.
Untuk rekod, Tun Siti Hasmah dilantik sebagai Canselor pertama MMU pada 20 Jun 1997 dan memegang jawatan itu sehingga 2012.
Walaupun tidak lagi menyandang jawatan canselor selepas 2012, namun hubungan Tun Siti Hasmah dengan MMU terus erat apabila beliau sering menghadiri pelbagai acara serta meluangkan masa bersama warga dan pelajar.
Menurut Mazliham, pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat negara, terutama dalam bidang pendidikan tinggi.
“Beliau bukan sahaja Canselor pertama MMU, tetapi juga seorang tokoh yang sentiasa dekat dengan warga universiti dan memberikan sokongan kepada pelbagai aktiviti yang kami anjurkan.
“Jasa dan sumbangan beliau kepada MMU akan sentiasa dikenang oleh seluruh warga universiti,” katanya.
Rabu lalu, Tun Siti Hasmah sempat menghadiri program Beyond The Stage Orchestra di Dewan Tun Canselor, MMU Cyberjaya.
Dalam program itu, Allahyarham turut membuat persembahan istimewa dengan bermain biola, yang kini menjadi antara kenangan akhir bersama warga MMU. – KOSMO! ONLINE
The post MMU berkabung hingga Jumaat, kibar bendera separuh tiang appeared first on Kosmo Online.






