MN Holdings berpotensi raih lebih banyak projek TNB daripada tender RM3.7 bilion - Maybank Research

LocalBusiness & Finance
14 Aug 2026 • 11:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MN Holdings berpotensi raih lebih banyak projek TNB daripada tender RM3.7 bilion - Maybank Research Image from: MN Holdings berpotensi raih lebih banyak projek TNB daripada tender RM3.7 bilion - Maybank Research johardy14/08/2026 - 11:15 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Ogos - MN Holdings Berhad berpotensi meraih lebih banyak projek Tenaga Nasional Bhd (TNB) apabila projek berkaitan syarikat utiliti nasional itu merangkumi 64% daripada keseluruhan tender bernilai RM3.7 bilion yang sedang diburunya, menurut Maybank Research.

 

Firma penyelidikan itu melihat prospek tersebut secara positif susulan peningkatan ketara dalam anugerah projek TNB kepada MN Holdings, termasuk dua kontrak yang diperoleh dalam tempoh seminggu.

 

Kontrak terbaharu bernilai RM71 juta bagi projek di Cameron Highlands, Pahang merupakan projek TNB kedua yang diperoleh MN Holdings dalam tempoh seminggu selepas satu lagi kontrak pada 10 Ogos.

 

Maybank Research berkata, rentetan anugerah itu memberi petunjuk bahawa pelaksanaan projek TNB semakin rancak, sekali gus penting kepada MN Holdings memandangkan sebahagian besar tender yang sedang diburunya berkaitan syarikat utiliti berkenaan.

 

Termasuk kontrak terbaharu itu, MN Holdings telah memperoleh projek baharu bernilai RM235 juta setakat tahun kewangan 2027 (FY2027), mewakili 20% daripada andaian penambahan kontrak setahun penuh Maybank Research sebanyak RM1.2 bilion.

 

Baki buku pesanan MN Holdings turut meningkat kepada RM2 bilion, bersamaan 3.7 kali hasil kumpulan bagi FY2025.

 

Projek TNB semakin rancak

Kontrak RM71 juta di Cameron Highlands melibatkan pembinaan pencawang masuk utama (PMU) transmisi 132/33kV baharu, termasuk kerja pembekalan, pendirian, pemasangan, pengujian dan pentauliahan serta kerja primer, sekunder dan awam berkaitan.

 

Projek itu mempunyai tempoh pelaksanaan selama 2.5 tahun dan dijangka siap menjelang separuh pertama 2029.

 

Berdasarkan andaian margin keuntungan selepas cukai 7% bagi projek TNB, Maybank Research menganggarkan kontrak itu menyumbang kira-kira RM5 juta keuntungan selepas cukai sepanjang FY2027 hingga FY2029.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatannya kerana kontrak tersebut masih dalam lingkungan andaian penambahan kontrak baharu FY2027 sebanyak RM1.2 bilion.

 

Maybank Research turut mengekalkan saranan `Beli' terhadap MN Holdings dengan harga sasaran RM4.17 berdasarkan 21 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY2027.

 

MN Holdings kekal sebagai pilihan utama Maybank Research dalam sektor mekanikal, elektrikal dan perpaipan (MEP), disokong penguasaan pasaran yang kukuh dalam projek infrastruktur tenaga bagi pusat data dan TNB. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved