johardy11/08/2026 - 09:35 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Ogos - Anak syarikat milik penuh Ocean Vantage Holdings Berhad, Ocean Vantage Engineering Sdn Bhd (OVE), berdepan satu lagi tindakan undang-undang daripada pemiutang berhubung dakwaan bayaran tertunggak berkaitan kerja-kerja Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bagi projek Bintulu Additional Gas Sales Facilities-2 (BAGSF-2).
Ocean Vantage berkata, OVE telah memfailkan dan menyerahkan Pernyataan Pembelaan sebagai respons terhadap tuntutan yang dikemukakan oleh tujuh pemiutang, dengan syarikat itu menegaskan bahawa jumlah yang didakwa terhutang tersebut ditanggung oleh SSEC, sebuah entiti berasingan daripada OVE.
Pembelaan OVE tertumpu kepada hujah bahawa jumlah tertunggak yang dituntut oleh pemiutang berkenaan ditanggung oleh SSEC dan tabir korporat antara kedua-dua entiti itu tidak seharusnya disingkap atau diketepikan kerana kedua-duanya merupakan entiti undang-undang yang berasingan dan berbeza.
Kes-kes berkenaan kini menunggu pemfailan dan penyerahan jawapan pihak plaintif terhadap Pernyataan Pembelaan OVE.
Secara berasingan, Ocean Vantage mendedahkan bahawa OVE dan SSEC telah dinamakan sebagai defendan dalam satu lagi saman yang difailkan oleh Union Plus Aluminium & Glass Sdn Bhd di Mahkamah Sesyen Sabah dan Sarawak di Bintulu.
Union Plus menuntut bayaran RM61,609.50 yang didakwa masih tertunggak bagi pembekalan, fabrikasi dan pemasangan panel komposit aluminium, kerja-kerja aluminium berkaitan serta kerja pembinaan yang dilaksanakan bagi projek BAGSF-2.
OVE dan SSEC
Plaintif turut memohon pengisytiharan bahawa OVE dan SSEC bertanggungjawab secara bersama dan/atau berasingan terhadap jumlah tertunggak yang didakwa itu.
Bagaimanapun, OVE telah mendapatkan nasihat undang-undang dan dimaklumkan bahawa writ serta pernyataan tuntutan berkenaan tidak diserahkan dengan sempurna kepada syarikat mengikut Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Ocean Vantage berkata, tuntutan terbaharu itu merupakan sebahagian daripada kumpulan tuntutan pemiutang yang lebih luas melibatkan pihak-pihak yang menjalankan kerja bagi projek BAGSF-2 dan diwakili oleh firma guaman yang sama.
Syarikat itu berkata, perkembangan berkaitan kes-kes berkenaan akan terus dirujuk kepada pengumuman terdahulunya bertarikh 26 Mei, 28 Mei dan 22 Julai bagi memastikan kesinambungan maklumat berkaitan pertikaian tersebut.
Ocean Vantage menegaskan bahawa dakwaan yang terkandung dalam pernyataan tuntutan merupakan tuntutan yang dibuat oleh plaintif masing-masing dan masih belum diputuskan oleh mahkamah.
Pada peringkat ini, kumpulan itu tidak menjangkakan sebarang kesan kewangan atau operasi serta-merta daripada litigasi berkenaan, selain kos guaman dan masa pengurusan yang diperlukan untuk mempertahankan tuntutan tersebut. - DagangNews.com






