Kontrak baharu TNB tingkatkan buku tempahan MN Holdings kepada RM1.9 bilion – Maybank IB

LocalBusiness & Finance
11 Aug 2026 • 12:08 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kontrak baharu TNB tingkatkan buku tempahan MN Holdings kepada RM1.9 bilion – Maybank IB Image from: Kontrak baharu TNB tingkatkan buku tempahan MN Holdings kepada RM1.9 bilion – Maybank IB liza11/08/2026 - 12:08 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Ogos – MN Holdings Berhad dilihat berpotensi menikmati permulaan kukuh bagi tahun kewangan 2027 (FY2027) selepas memperoleh kontrak RM122.3 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk kerja pemasangan kabel bawah tanah 132 kilovolt (kV) di Pulau Pinang.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, berdasarkan pegangan 80% MN Holdings dalam konsortium projek itu, nilai kontrak yang berkesan kepada syarikat adalah RM97.8 juta.

 

Kontrak tersebut membabitkan pemasangan sistem kabel bawah tanah berkembar 132kV yang menghubungkan PMU Tasek Gelugor dengan PMU Bertam, dengan projek itu mempunyai tempoh pelaksanaan selama 15 bulan dan dijangka siap pada November 2027.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kemenangan kontrak berkenaan meningkatkan baki buku tempahan MN Holdings kepada RM1.9 bilion, sekali gus mengukuhkan keterlihatan pendapatan syarikat bagi tempoh akan datang.

 

“Kontrak itu juga merupakan projek pertama yang dimenangi MN Holdings bagi FY2027 dan mewakili kira-kira 8% daripada andaian kami terhadap sasaran perolehan kontrak baharu syarikat sebanyak RM1.2 bilion untuk tahun berkenaan,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.

 

Projek TNB Beri Petunjuk Aktiviti Semakin Rancak

Firma penyelidikan itu melihat kemenangan tersebut secara positif kerana ia memberi petunjuk bahawa pelaksanaan projek TNB semakin rancak, khususnya dalam pembangunan infrastruktur bekalan elektrik.

 

Malah, tender berkaitan TNB kini membentuk sekitar 64% daripada keseluruhan tender aktif MN Holdings yang bernilai RM3.7 bilion, menunjukkan TNB kekal sebagai sumber penting kepada aliran kontrak baharu syarikat.

 

Maybank IB berkata perkembangan itu berpotensi menyokong buku tempahan MN Holdings, terutama ketika syarikat terus mengejar projek dalam bidang pencawang elektrik dan utiliti bawah tanah.

 

ARTIKEL BERKAITAN: MN Holdings menang kontrak RM122.3 juta pemasangan kabel bawah tanah TNB di Tasek Gelugor

 

Bagi projek terbaharu itu, skop kerja MN Holdings merangkumi kejuruteraan, reka bentuk, pembekalan dan pemasangan sistem kabel 132kV baharu berkapasiti 180 megavolt ampere (MVA) dari PMU Tasek Gelugor ke PMU Bertam.

 

Dengan andaian margin keuntungan selepas cukai sebanyak 7% bagi projek TNB, Maybank IB menganggarkan kontrak tersebut mampu menyumbang kira-kira RM6.8 juta kepada keuntungan selepas cukai MN Holdings sepanjang FY2027 dan FY2028.

 

Kekal Saranan Beli

Walaupun terdapat kontrak baharu itu, Maybank IB tidak mengubah unjuran pendapatannya terhadap MN Holdings kerana kemenangan tersebut masih berada dalam lingkungan andaian perolehan kontrak baharu sebanyak RM1.2 bilion bagi FY2027.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap saham MN Holdings dengan harga sasaran RM4.17 sesaham, berdasarkan penilaian 21 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY2027.

 

Dengan harga saham MN Holdings pada RM3.12 ketika laporan dikeluarkan, sasaran RM4.17 itu mencerminkan potensi kenaikan sekitar 34%.

 

Maybank IB turut mengekalkan MN Holdings sebagai pilihan utama dalam sektor mekanikal, elektrik dan paip (MEP), disokong kedudukan syarikat dalam projek infrastruktur tenaga bagi pusat data dan TNB.

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan keuntungan bersih teras MN Holdings meningkat kepada RM102 juta pada FY2026, RM144.7 juta pada FY2027 dan RM164.2 juta pada FY2028, berbanding RM61.9 juta pada FY2025.

 

“Pertumbuhan keuntungan tersebut dijangka disokong peningkatan sumbangan daripada projek pencawang elektrik dan utiliti bawah tanah, selain aliran kontrak baharu yang diunjurkan sekitar RM1.2 bilion setahun bagi tempoh FY2026 hingga FY2028,” katanya.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved