hamden18/11/2026 - 09:22 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Nov - Solarvest Holdings Bhd dijangka menguasai kira-kira 30% bahagian pasaran daripada peluang kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) Program Solar Berskala Besar (LSS) 6 yang dianggarkan bernilai RM13 bilion hingga RM15 bilion.
Bayangan itu diberikan RHB Research selepas melihat potensi Solarvest dalam memperoleh kontrak EPCC bernilai kira-kira RM4 bilion menerusi LSS6, sekali gus menjadi antara pemacu utama pertumbuhan kumpulan itu selepas kontrak projek Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) yang dijangka diperoleh menjelang akhir 2026.
Firma penyelidikan itu berkata, peluang pertumbuhan Solarvest turut disokong jangkaan pemerolehan kontrak CRESS berkapasiti 300 hingga 500 megawatt (MW) menjelang akhir tahun ini.
"Potensi tambahan kontrak CRESS berkapasiti 1 gigawatt (GW) masih belum dimasukkan dalam unjuran pendapatan semasa," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Keputusan kewangan tepati jangkaan
Sementara itu, keputusan kewangan Solarvest bagi separuh pertama tahun kewangan 2027 (1HFY27) berakhir Mac 2027, menepati jangkaan penganalisis, dengan prestasi lebih kukuh dijangka pada separuh kedua tahun kewangan berkenaan.
Kumpulan itu mencatatkan hasil RM411.1 juta bagi 1HFY27, meningkat 33.8% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti teras (PATAMI) naik 16.6% kepada RM43.6 juta.
Pertumbuhan hasil sebahagian besarnya didorong permulaan projek utiliti di bawah LSS5, manakala margin bersih kekal sihat sekitar 10%, sejajar dengan panduan pengurusan.
Sumbangan penjanaan tenaga berulang turut meningkat kepada kira-kira 28% daripada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kumpulan berbanding hanya 1% pada 1HFY26.
Pencapaian itu secara umumnya sejajar dengan sasaran pengurusan yang menyasarkan sumbangan sekitar 30% daripada penjanaan tenaga berulang bagi FY27.
Prospek kontrak
Dari segi prospek kontrak, buku tempahan tertunggak Solarvest berjumlah RM2.2 bilion setakat 1HFY27, merangkumi kira-kira 42% daripada kontrak LSS5 dan projek di Sabah, 41% daripada LSS5+, 8% daripada Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) serta 9% daripada projek komersial dan perindustrian (C&I) serta kediaman.
RHB Research menjangkakan antara 30% hingga 40% daripada buku tempahan itu, bersamaan RM660 juta hingga RM880 juta, akan diiktiraf sebagai hasil pada 2HFY27.
Setakat tahun kewangan semasa, Solarvest memperoleh kontrak projek bernilai RM1.2 bilion, bersamaan kira-kira 43% daripada andaian penambahan buku pesanan penganalisis sebanyak RM2.7 bilion.
Baki penambahan buku tempahan dijangka disokong pemerolehan kontrak CRESS yang dinantikan menjelang akhir 2026.
Bagaimanapun, RHB Research berpandangan turun naik harga saham dalam tempoh terdekat mungkin berterusan berikutan kebimbangan terhadap kawalan eksport berkaitan pusat data (DC) dan kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.
Namun, keadaan itu dilihat sebagai peluang untuk pelabur memasuki semula pasaran memandangkan asas perniagaan Solarvest kekal kukuh, selain kumpulan itu tidak mempunyai pendedahan kepada pusat data China.
Sehubungan itu, RHB Research mengekalkan saranan BELI terhadap saham Solarvest dengan harga sasaran RM4.30 sesaham, berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (P/E) 30 kali ganda bagi unjuran perolehan sesaham FY28 selepas pencairan penuh serta penilaian aliran tunai terdiskaun (DCF) bagi aset solarnya.
Harga sasaran itu turut mengambil kira premium alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak 8%, sekali gus membayangkan potensi kenaikan sekitar 23%. - DagangNews.com






