hamden05/08/2026 - 08:50 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Ogos – MNRB Holdings Berhad (MNRB) memeterai perjanjian pelaksanaan dengan Rakyat Nominees Sdn. Bhd. dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) bagi cadangan melupuskan dua anak syarikat milik penuhnya, Takaful Ikhlas Family Berhad dan Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful Ikhlas), pada nilai keseluruhan RM1.64 bilion, tertakluk kepada pelarasan.
Perjanjian tersebut menetapkan rangka kerja pelaksanaan cadangan pelupusan, termasuk tanggungjawab setiap pihak, proses mendapatkan kelulusan pihak berkuasa serta pelaksanaan dokumen transaksi muktamad.
Cadangan pelupusan itu masih tertakluk kepada kelulusan Bank Negara Malaysia dan/atau Menteri Kewangan, mengikut mana yang berkenaan, selain memerlukan kelulusan pemegang saham MNRB.
MNRB berkata, selepas urus niaga dimuktamadkan, kerjasama antara Takaful IKHLAS dan Bank Rakyat dijangka menggabungkan kekuatan kedua-dua pihak bagi memperkukuh pertumbuhan industri takaful negara, selain menyokong pembangunan ekosistem perkhidmatan kewangan Islam Malaysia.
Artikel berkaitan: Bank Rakyat muncul pembida pilihan ambil alih Takaful Ikhlas
Pengerusi MNRB, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, cadangan pelupusan itu merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang kumpulan dalam menilai semula portfolio pelaburannya agar terus sejajar dengan keutamaan strategik.
"Cadangan pelupusan ini mencerminkan pendekatan berdisiplin MNRB dalam pengurusan strategik serta komitmen kami terhadap penciptaan nilai mampan.
"Ia akan membolehkan MNRB merealisasikan nilai pelaburan dalam segmen takaful langsung dan utama, sekali gus memperkukuh tumpuan kumpulan terhadap perniagaan teras reinsurans dan retakaful," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, cadangan itu juga merupakan satu lagi langkah penting dalam pelaksanaan transformasi strategik MNRB, susulan pengumuman pada Mei 2026 mengenai cadangan memperoleh baki 80% pegangan ekuiti dalam Labuan Reinsurance (L) Ltd (Labuan Re).
Katanya, kedua-dua langkah korporat tersebut mencerminkan usaha berterusan MNRB untuk menyusun semula portfolio perniagaannya agar lebih selaras dengan hala tuju strategik kumpulan.
Beliau berkata, selain membolehkan MNRB memberi tumpuan kepada peluang pertumbuhan dalam perniagaan teras, cadangan pelupusan itu turut membuka ruang kepada Takaful IKHLAS untuk memanfaatkan sinergi bersama Bank Rakyat.
"MNRB akan terus menguruskan proses ini secara teliti dan bertanggungjawab dengan mengambil kira kepentingan semua pihak berkepentingan termasuk pemegang saham, pelanggan, kakitangan dan rakan niaga," katanya. - DagangNews.com





