sarah19/11/2026 - 14:11 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 19 Nov - MNRB Holdings Berhad melantik Ahmad Noor Azhari Abdul Manaf sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan berkuat kuasa 23 November 2026, bagi menerajui usaha memperkukuh perniagaan insurans semula dan takaful semula kumpulan itu.
MNRB dalam kenyataan hari ini berkata, Ahmad Noor Azhari akan terus memegang jawatan sebagai Presiden dan CEO Malaysian Reinsurance Berhad (Malaysian Re), anak syarikat milik penuh kumpulan tersebut.
Beliau mempunyai pengalaman selama tiga dekad dalam industri insurans dan insurans semula, termasuk menerajui usaha memperkukuh keupayaan pengunderaitan serta memperluas kehadiran Malaysian Re di pasaran antarabangsa.
Ahmad Noor Azhari menyertai Malaysian Re pada 2016 sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Pengunderaitan pada 2021 dan seterusnya Presiden dan CEO syarikat itu pada Mac 2023.
Pengerusi MNRB, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, lembaga pengarah yakin kepakaran dan pengalaman kepimpinan Ahmad Noor Azhari akan membantu kumpulan memperkukuh kedudukannya dalam perniagaan insurans semula dan takaful semula.
“Lembaga pengarah yakin kepakaran beliau dalam insurans semula serta kepimpinannya akan membantu MNRB memperkukuh perniagaan insurans semula dan takaful semula, selain memajukan aspirasi kami untuk menjadi antara kumpulan insurans semula dan takaful semula terkemuka di Asia,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, lembaga pengarah turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Rudy Rodzila Che Lamin atas kepimpinannya sebagai Presiden dan CEO Kumpulan sementara sepanjang tempoh peralihan.
Rudy Rodzila akan meneruskan tanggungjawabnya sebagai Presiden dan CEO Takaful Ikhlas General Berhad.
MNRB yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia menjalankan perniagaan insurans semula, takaful semula dan takaful menerusi anak-anak syarikatnya.- DagangNews.com






