
JEMPOL, 28 Jun 2026 – Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS) meneruskan komitmennya dalam mengukuhkan hubungan bersama komuniti pemilik Z15GT menerusi program LokalLagiSyok sempena Pusingan 3 Kejuaraan Malaysian Cub Prix 2026 yang berlangsung di Dataran Seri Jempol, Negeri Sembilan.
Selepas mendapat sambutan positif di Tangkak dan Sepang, siri konvoi komuniti itu diteruskan dengan menghimpunkan pemilik Z15GT dari pelbagai lokasi untuk menunggang bersama menuju ke venue perlumbaan. Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pemilik menikmati pengalaman berkumpulan, malah mengeratkan hubungan sesama komuniti sambil mendekatkan mereka dengan dunia perlumbaan.
Konvoi bermula di R&R Seremban (Arah Selatan) sebelum bergerak ke Lotus Bahau sebagai lokasi persinggahan. Di sini, peserta menyertai pelbagai aktiviti komuniti selain menerima baju rasmi serta patch edisi khas Pusingan 3 di bawah inisiatif “Jelajah 8 Pusingan, 8 Patches”. Melalui inisiatif ini, setiap pusingan Malaysian Cub Prix akan menawarkan patch eksklusif yang boleh dikumpulkan oleh pemilik Z15GT sepanjang musim 2026.
Selepas makan tengah hari, konvoi meneruskan perjalanan ke Dataran Seri Jempol bagi menyaksikan aksi perlumbaan Cub Prix, mengambil bahagian dalam aktiviti komuniti serta sesi fotografi bersama.
Salah satu pengisian menarik adalah kunjungan ke reruai Eastel, penaja kepada TKKR Racing Team yang bersaing dalam kategori CP150 menggunakan jentera lumba berasaskan MODENAS Z15GT. Walaupun sokongan rasmi MODENAS musim ini lebih tertumpu kepada kategori Pro-Am, kehadiran komuniti di reruai tersebut menunjukkan sokongan berterusan terhadap pasukan yang berlumba menggunakan platform Z15GT.
Di reruai Eastel, pemilik turut berpeluang bertemu Pengurus Pasukan TKKR Racing Team, Bobie Farid, yang berkongsi pelbagai pengalaman berkaitan pembangunan jentera perlumbaan, aspek teknikal serta cabaran yang dihadapi sepanjang kempen CP150. Sesi santai ini memberi peluang kepada pemilik memahami dengan lebih dekat bagaimana sebuah motosikal produksi diubah suai menjadi jentera perlumbaan kompetitif.
Selain itu, MODENAS turut mendapatkan maklum balas terus daripada pemilik Z15GT menerusi tinjauan yang merangkumi prestasi motosikal, pengalaman servis, sokongan selepas jualan serta cadangan penambahbaikan produk pada masa hadapan. Maklumat yang diperoleh akan digunakan bagi membantu MODENAS meningkatkan lagi pengalaman pemilikan Z15GT.
Bagi menghargai penyertaan komuniti, satu sesi cabutan bertuah turut diadakan dengan hadiah sumbangan daripada MODENAS, TKKR Racing Team dan ahli komuniti sendiri. Seramai kira-kira 50 pemilik Z15GT mengambil bahagian dalam aktiviti tersebut yang turut diserikan dengan kehadiran pelumba TKKR Racing Team, Md Aliff Danial M Asri (#52), Md Harith Farhan Baharin (#25) dan Ahmad Syukran Aizat Mohd Yusoff (#41), yang menyampaikan hadiah kepada para pemenang serta meluangkan masa bergambar bersama peserta.
Program di Jempol sekali lagi membuktikan bahawa LokalLagiSyok bukan sekadar konvoi, malah menjadi platform yang menghubungkan pemilik Z15GT dengan komuniti permotoran serta dunia perlumbaan tanah air. Melalui pendekatan ini, MODENAS terus memperkukuhkan hubungan bersama pelanggan sambil membina komuniti pemilik yang lebih aktif sepanjang musim Malaysian Cub Prix 2026.
Dengan beberapa lagi pusingan berbaki dalam kalendar Cub Prix musim ini, MODENAS dijangka akan meneruskan pelbagai aktiviti bersama komuniti Z15GT sebagai sebahagian daripada usaha memperkasakan pengalaman pemilikan motosikal nasional tersebut.
















The post MODENAS Terus Eratkan Hubungan Bersama Komuniti Z15GT di Cub Prix Jempol appeared first on TW Media.






