Voge Racing Optimis Manfaatkan Konsesi Teknikal Di Jempol, Sasar Podium Pertama Musim 2026

26 Jun 2026 • 7:59 AM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

Image from: Voge Racing Optimis Manfaatkan Konsesi Teknikal Di Jempol, Sasar Podium Pertama Musim 2026

Pasukan Voge Racing hadir ke Pusingan 3 PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2026 di Jempol, Negeri Sembilan dengan keyakinan baharu selepas menerima kelebihan menerusi sistem konsesi yang diperkenalkan dalam peraturan musim ini.

Menurut Data Engineer pasukan, Muhammad Nur Faiz Baharum, konsesi yang diterima membolehkan pasukan melakukan beberapa penambahbaikan teknikal yang berpotensi meningkatkan prestasi jentera. Sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap sistem elektronik, data serta talaan enjin, beliau memainkan peranan penting dalam memastikan setiap perubahan yang dilakukan mampu memberikan kelebihan di litar.

“Antara perkara yang dibenarkan melalui konsesi ini termasuk penggunaan beberapa komponen yang dapat membantu meningkatkan prestasi jentera seperti perubahan pada sistem magnet dan peningkatan had RPM. Dari sudut data serta talaan elektronik, kami melihat ada ruang untuk mendapatkan prestasi yang lebih baik berbanding dua pusingan sebelum ini,” jelas beliau dalam segmen Garage Talk.

Beliau turut menjelaskan bahawa prestasi pasukan menunjukkan perkembangan positif sejak awal musim dan berharap pakej baharu yang dibawa ke Jempol mampu membantu pelumba berada dalam kelompok hadapan.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Voge Racing, Azlan Shah, menegaskan bahawa sasaran pasukan sentiasa tinggi pada setiap pusingan Malaysian Cub Prix.

“Setiap perlumbaan kami datang dengan sasaran besar kerana kami tahu pelumba-pelumba kami mampu bersaing di hadapan. Pasukan juga sentiasa bekerja keras mencari tetapan terbaik untuk jentera pada setiap perlumbaan. Sasaran kami sentiasa podium atau sekurang-kurangnya kedudukan lima terbaik. Kami berharap Pusingan 3 ini mampu membuahkan hasil yang kami cari sejak awal musim dan pasukan akan memberikan usaha 100 peratus untuk mencapainya,” katanya.

Dengan gabungan pembangunan teknikal, peningkatan prestasi jentera serta semangat tinggi seluruh pasukan, Voge Racing dilihat berpotensi menjadi antara pencabar yang perlu diberi perhatian dalam saingan di Jempol hujung minggu ini.

The post Voge Racing Optimis Manfaatkan Konsesi Teknikal Di Jempol, Sasar Podium Pertama Musim 2026 appeared first on TW Media.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved