johardy21/10/2026 - 18:53 Mohd Nazersham Mansor dan Aznita Abdul Aziz Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt - Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Malakoff Corporation Bhd, Mohd Nazersham Mansor akan melepaskan jawatan pada 30 November 2026 untuk meneruskan peluang kerjaya lain dengan timbalannya mengambil alih tugas itu buat sementara waktu.
Timbalan CFO, Nurshazwani Abd Malek akan memangku jawatan berkenaan mulai 1 Disember 2026, menurut syarikat penjana tenaga itu dalam kenyataan hari ini.

Malakoff turut melantik Aznita Abdul Aziz sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif berkuat kuasa hari ini.
Aznita mempunyai pengalaman kira-kira 26 tahun dalam industri minyak dan gas, terutamanya dalam kumpulan PETRONAS, meliputi pengurusan risiko, perancangan strategik, pengurusan portfolio, operasi perbendaharaan dan penilaian ekonomi.
Beliau memulakan kerjaya di PETRONAS Trading Sdn Bhd sebelum menyertai Petroliam Nasional Bhd dengan memegang beberapa jawatan kanan termasuk Ketua Pengurusan Risiko Portfolio serta Ketua Perancangan Strategik dan Pengurusan Portfolio.
Pengerusi Malakoff, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, pengalaman dan kepakaran Aznita akan memperkukuh lembaga pengarah syarikat. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Mohd Nazersham atas khidmat dan sumbangannya kepada kumpulan.
Pengalaman luas dalam pengurusan risiko dan portfolio
Aznita kini merupakan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Steel Hawk Bhd, selain mempengerusikan Jawatankuasa Pencalonan dan menganggotai Jawatankuasa Audit dan Pengurusan Risiko serta Jawatankuasa Imbuhan syarikat itu.
Beliau turut menganggotai Lembaga Gabenor Albukhary International University dan merupakan ahli Institute of Corporate Directors Malaysia.
Aznita sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif MMC Port Holdings Bhd dan pengarah Piva Capital Inc., sebuah firma modal teroka yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Beliau memiliki ijazah sarjana dalam bidang ekonomi dan kewangan serta Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang ekonomi dan perakaunan dari University of Bristol, United Kingdom. - DagangNews.com






