
KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar bakal dibicarakan selama 15 hari bermula 26 Julai 2027 atas empat pertuduhan membabitkan rasuah dan pecah amanah.
Hakim Mahkamah Sesyen, Rosli Ahmad menetapkan perbicaraan pada 26 hingga 29 Julai, 9 hingga 12 Ogos, 13 hingga 15 September serta 27 hingga 30 September 2027 selepas tarikh berkenaan dipersetujui pihak pendakwaan dan pembelaan.
Bagaimanapun, sebelum perbicaraan berlangsung, kes berkenaan akan disebut semula pada 28 Oktober ini bagi mengetahui perkembangan representasi yang bakal dikemukakan pihak pembelaan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Peguam Abdul Aziz Hamzah yang mewakili Mohd. Nizam berkata, representasi itu dijangka dikemukakan dalam tempoh seminggu selepas pihaknya menerima keseluruhan dokumen berkaitan kes daripada pendakwaan.
“Pihak kami sahkan penerimaan dokumen pendakwaan Jilid Kelima hari ini. Anak guam kami ada untuk mengemukakan representasi untuk pertimbangan AGC dan kami juga akan memfailkan pernyataan pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
“Tarikh-tarikh perbicaraan yang dinyatakan sebentar tadi pun dipersetujui oleh pembelaan,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip memaklumkan keseluruhan dokumen pendakwaan merangkumi lima jilid sudah diserahkan kepada pihak pembelaan.
“Pada hari ini, dokumen sudah pun lengkap diserahkan kepada pihak pembelaan. Secara keseluruhannya, terdapat lima jilid dokumen,” katanya.
Pada 23 Januari lalu, Mohd. Nizam mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan membabitkan dakwaan menggunakan kedudukan dan menerima wang berjumlah keseluruhan RM752,481.90, selain satu pertuduhan pecah amanah membabitkan RM3 juta.
Bagi dua pertuduhan, beliau didakwa ketika bertugas sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia dan mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM552,481.90 bagi dirinya.
Beliau turut didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang RM3 juta milik TKAT dengan menyalahgunakan dana berkenaan bagi pelaburan tambahan dalam sebuah syarikat tanpa kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.
Bagi satu lagi pertuduhan, Mohd. Nizam didakwa ketika menjadi PAT menerima RM200,000 tanpa balasan daripada seorang pengarah, sedangkan beliau didakwa mengetahui individu berkenaan mungkin mempunyai kaitan dengan urusan yang akan dijalankan olehnya.
Kesemua pertuduhan itu masih belum dibuktikan dan Mohd. Nizam telah mengaku tidak bersalah.
The post Mohd Nizam berdepan perbicaraan 15 hari mulai Julai 2027 appeared first on MYBERITA.





