MoneyX bekerjasama dengan CGS International sediakan akses ilmu kewangan kepada generasi muda

15/05/2025 - 10:16
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 15 Mei - MoneyX bekerjasama dengan CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd (CGS MY) menyediakan akses dan ilmu kewangan praktikal bagi meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan pelabur muda dan komuniti kurang berkemampuan.
Ia bagi memastikan generasi muda lebih yakin dan bersedia dalam membuat keputusan kewangan dan pelaburan.
Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan peningkatan Indeks Celik dan Keupayaan Kewangan Malaysia (MYFLIC) daripada 57.1 pada 2018 kepada 59.1 pada 2024, mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kepentingan literasi kewangan.
Beberapa perkhidmatan pelaburan terpilih CGS MY akan ditawarkan di platform MoneyX, termasuk aplikasi pelaburan UP, satu-satunya aplikasi yang membolehkan dagangan saham pecahan di Bursa Malaysia.
Aplikasi itu dibangunkan khusus untuk membantu golongan muda dan pengguna yang kurang mendapat akses kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hextar, Datuk Eddie Ong berkata, ramai anak muda mahu belajar mengurus wang dengan lebih baik, tetapi kekurangan alat dan sokongan yang sesuai.
"Kerjasama ini bertujuan merapatkan jurang tersebut dan membantu mereka menjadi lebih celik kewangan melalui alat yang mesra pengguna.
"Kami mahu melihat setiap anak muda di Malaysia bukan sahaja faham tentang wang, tetapi juga bijak menguruskannya," katanya dalam satu kenyataan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CGS MY, Khairi Shahrin Arief Baki berkata, ilmu kewangan ialah asas kepada kebebasan kewangan.
"Kerjasama ini selari dengan visi kami untuk membina ekosistem kewangan yang inklusif dan mampan, di mana semua orang berpeluang untuk berkembang maju," katanya.
Inisiatif itu turut menyokong misi utama MoneyX untuk mendemokrasikan pendidikan kewangan dan pelaburan melalui penyediaan sumber, alat, dan perkhidmatan yang dipercayai.
Kedua-dua pihak yakin kerjasama itu akan memperkukuh pengetahuan pelaburan, mengurangkan jurang akses kewangan, dan menggalakkan lebih ramai menyertai pasaran modal.- DagangNews.com
standard




