
PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli enggan terus dibayangi kekecewaan di Indonesia, sebaliknya mengalihkan tumpuan sepenuhnya kepada misi memburu mata berharga pada Grand Prix (GP) Australia di Litar Phillip Island, hujung minggu ini.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mahu menebus kekecewaan di GP Indonesia selepas dikenakan penalti grid yang memaksanya memulakan perlumbaan dari petak terakhir sebelum menamatkan saingan di tempat ke-14.
Keputusan positif di Australia amat penting bagi menyuntik keyakinan dan membina momentum terbaik buat pelumba berusia 19 tahun itu sebelum beraksi di hadapan penyokong sendiri pada GP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), dari 30 Oktober hingga 1 November ini.
“Persiapan saya menjelang GP Australia berjalan lancar dan saya sangat teruja untuk berlumba di Phillip Island kerana litar ini masih baharu bagi saya. Saya tidak sabar untuk turun pada sesi latihan bebas pertama, Jumaat ini.
“Bagi menghadapi perlumbaan ini, saya sudah meneliti semula kesilapan dalam dua perlumbaan terdahulu untuk memperbaiki kelemahan.
“Kecederaan akibat kemalangan sebelum ini juga semakin pulih dan walaupun masih terasa sedikit sakit, ia bukan penghalang untuk saya berjuang habis-habisan,” kata anak jati Terengganu itu.
GP Australia kali ini turut menjadi penampilan terakhir Phillip Island dalam kalendar Kejuaraan Dunia MotoGP sebelum saingan berpindah ke Adelaide bermula 2027.
Dalam perebutan gelaran Rookie of the Year, Hakim Danish kini berada di tangga ketiga dengan mengumpul 107 mata, ketinggalan lapan mata di belakang pelumba Indonesia, Veda Ega Pratama (115 mata), manakala pelumba Sepanyol, Brian Uriarte, mendahului dengan 203 mata.
The post Moto3: Hakim Danish tekad tebus duka appeared first on Kosmo Online.






