Moto3: Zulfahmi mahu ‘rawat’ Hakim Danish

13 Oct 2026 • 10:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Moto3: Zulfahmi mahu ‘rawat’ Hakim Danish

PENGURUS pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin merancang untuk mendapatkan khidmat pakar psikologi sukan antarabangsa bagi memperkukuh kekuatan mental dan membentuk corak pemikiran pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli agar setaraf dengan pelumba elit MotoGP.

Langkah berkenaan dilihat sebagai ramuan penting untuk membantu pelumba Kejuaraan Dunia Moto3 itu mencapai tahap kematangan yang diperlukan di atas litar, sekali gus mampu kembali mencabar kelompok hadapan dan seterusnya menaiki podium semula.

Zulfahmi mengakui, biarpun Hakim Danish memiliki potensi besar untuk bersaing bersama kelompok pelumba hadapan, kelemahannya dalam mengawal emosi dan tekanan sering merugikan kutipan matanya sendiri.

“Saya sebenarnya sedang mencari beberapa khidmat pakar psikologi antarabangsa supaya dapat membantu Danish berfikir pada tahap yang sama dengan pelumba MotoGP kerana saya difahamkan semua pelumba di kelas utama itu berbuat demikian,” katanya ketika ditemui pemberita, kelmarin.

Menurut Zulfahmi, pihaknya mengakui pelumba kelahiran Terengganu itu ketinggalan dari segi kematangan yang setanding dengan pelumba berbakat besar Eropah seperti Brian Uriarte dari Sepanyol.

Justeru, suntikan aspek psikologi diyakini mampu mematangkan pendekatan pelumba berusia 19 tahun itu dalam menguruskan jangkaan dan tekanan perlumbaan.

Mengulas prestasi terkini anak buahnya itu, Zulfahmi tanpa berselindung meluahkan rasa terkilan dengan kesilapan berulang Hakim Danish yang sering mengundang hukuman penalti.

“Sikap gopoh Danish menjejaskan kutipan matanya. Walaupun kita masih nampak sisi positif di mana dia mampu bangkit dari belakang hingga ke kelompok 10 terbaik, namun bayangkan jika dia bermula di petak yang lebih baik, dia sebenarnya berupaya berada di atas podium.

“Kadang-kadang semasa sesi latihan bebas, dia terjatuh kerana terlalu gopoh mahu memecut laju. Saya mahu dia mengambil langkah demi langkah,” tegasnya.

The post Moto3: Zulfahmi mahu ‘rawat’ Hakim Danish appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved