Moto3: Kecewa terlepas podium di Sepang, Hakim Danish sasar bangkit dalam tiga perlumbaan terakhir

3 Nov 2026 • 12:00 AM MYT
Stadium Astro
Stadium Astro

The latest sports results, news, match highlights, schedules and more

Moto3: Kecewa terlepas podium di Sepang, Hakim Danish sasar bangkit dalam tiga perlumbaan terakhir

Pelumba negara, Hakim Danish Ramli, mengakui kecewa apabila terlepas peluang menaiki podium pada perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), namun tetap berpuas hati kerana sudah memberikan aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri.

Hakim Danish yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat berkata, dia sudah berusaha sejak awal saingan untuk berada dalam kelompok tiga terbaik, tetapi terpaksa menerima hakikat belum ada rezeki untuk meraih podium.

Menurutnya, peluang terakhir untuk melakukan pintasan hadir ketika memasuki selekoh terakhir apabila cuba mencari ruang untuk memintas pelumba di hadapan, Alvaro Carpe, sebelum sedikit terbabas.

“Saya sangat gembira kerana sudah memberikan segala-galanya dalam perlumbaan hari ini. Saya bersaing sejak awal hingga tamat perlumbaan dan sudah tentu saya mahu meraih podium. Namun, saya terlepas peluang itu dan terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keempat,” katanya.

Mengulas insiden sentuhan dengan pelumba lain, Hakim Danish berpendapat ia tidak menjejaskan prestasinya, malah persaingan sengit di litar menjadikan perlumbaan lebih menarik untuk disaksikan.

Dia turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan, termasuk penaja, pasukan ZK Racing, AEON Credit, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta SIC.

Tidak ketinggalan, Hakim Danish mengucapkan terima kasih kepada penyokong Malaysia yang hadir memenuhi litar untuk memberikan sokongan sepanjang perlumbaan.

Mengulas mengenai rekod podium Zulfahmi Khairuddin di Sepang, Hakim Danish percaya bekas pelumba negara itu tetap berbangga dengan persembahannya meskipun gagal mengulangi pencapaian berkenaan.

Walaupun kecewa, pelumba muda negara itu tidak mahu terlalu lama dibelenggu keputusan di Sepang, sebaliknya sudah mengalihkan perhatian kepada tiga perlumbaan berbaki musim ini.

Hakim percaya peluang untuk kembali menaiki podium, malah meraih kemenangan, masih terbuka dan bertekad terus memberikan aksi terbaik dalam setiap perlumbaan.

“Ya, masih ada tiga perlumbaan berbaki musim ini. Saya percaya tidak mustahil untuk menaiki podium atau meraih kemenangan sekali lagi. Saya akan terus berjuang mencapai sasaran itu dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam setiap perlumbaan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved