
KUALA LUMPUR - Peminat MotoGP yang mahu merasai bahang sukan permotoran itu berpeluang membawa pulang tiket percuma menerusi program Sembang Santai MotoGP bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Berlangsung di Fifty Seven Coffee, Semenyih, malam ini bermula jam 8 malam, program berkenaan bukan sekadar membuka ruang kepada peminat berkongsi minat terhadap sukan permotoran, malah turut menawarkan gabungan hiburan, interaksi bersama pemimpin negara dan aktiviti kebajikan.
Antara tarikan utama ialah cabutan bertuah yang menawarkan tiket MotoGP percuma serta pelbagai hadiah menarik kepada pengunjung.
Suasana dijangka lebih meriah dengan persembahan Azlan & The Typewriter, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai menikmati malam santai bersama keluarga dan rakan-rakan.
Penyelaras program berkata, penganjuran itu bertujuan mewujudkan ruang pertemuan yang lebih santai antara masyarakat dan pemimpin negara.
“Ia juga bertujuan menghimpunkan orang ramai menerusi minat terhadap sukan dan hiburan,” katanya.
Program terbabit turut diserikan dengan inisiatif Sumbangan Kasih bagi menyantuni golongan memerlukan, mencerminkan elemen keprihatinan sosial dalam penganjuran berkenaan.
Orang ramai, khususnya peminat MotoGP, dijemput hadir bagi memeriahkan program yang menggabungkan sukan, muzik dan kebersamaan masyarakat itu. - Getaran, 29 Oktober 2026






