
KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mencadangkan Skim Penyelenggaraan Motosikal P-Hailing diwujudkan di peringkat nasional bagi mengurangkan beban ribuan penghantar yang bergantung kepada motosikal sebagai sumber utama mencari rezeki.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berkata, skim itu boleh dilaksanakan melalui kerjasama kerajaan, syarikat platform dan bengkel tempatan.
Menurut beliau, kos penyelenggaraan motosikal boleh menjadi beban besar kepada penghantar p-hailing kerana kenderaan itu digunakan setiap hari untuk menjana pendapatan.
“Apabila motosikal rosak, bukan motosikal sahaja yang berhenti, pendapatan mereka turut terhenti,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2026.
Beliau berkata, sekali penyelenggaraan motosikal boleh menelan belanja sekurang-kurangnya RM150, jumlah yang memberi kesan kepada rider terutama mereka yang mempunyai tanggungan keluarga.
Sehubungan itu, Pemuda UMNO mahu pendekatan Kerajaan Negeri Melaka yang menawarkan diskaun 30 peratus bagi penyelenggaraan motosikal kepada lebih 3,000 rider diperluaskan menerusi satu skim nasional.
Pada masa sama, GIATMARA dicadangkan menjadi rakan latihan dan pensijilan dengan penglibatan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah penyeliaan tenaga mahir.
Menurut beliau, pendekatan itu bukan sahaja membantu rider, malah berpotensi menyediakan latihan praktikal kepada pelajar TVET serta membuka peluang kepada bengkel tempatan.
“Dalam satu langkah, kita menjaga motosikal rider, melatih anak muda TVET, membantu bengkel tempatan dan menggerakkan ekonomi akar umbi,” katanya.
The post Motosikal rosak, pendapatan terhenti, Pemuda UMNO mahu skim servis ‘rider’ seluruh negara appeared first on MYBERITA.






