amree12/11/2026 - 10:20 CHANG Lih Kang (tengah) bergambar selepas pemeteraian memorandum persefahaman bersempena dengan program I-Nation 2026. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov — Lima bidang strategik termasuk penuaan sihat, keterjaminan makanan, industri sawit, ekonomi altitud rendah dan mobiliti autonomi menjadi tumpuan usaha Malaysia mempercepatkan pengkomersialan teknologi menerusi pelaksanaan inisiatif baharu Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI).
Menerusi pendekatan berasaskan kepada misi tersebut, MRANTI menyasarkan rumusan teknologi secara terpilih dibawa ke peringkat projek rintis dalam tempoh enam hingga 12 bulan melalui pembentukan pasukan pelaksana yang dikenali sebagai Execution Pods.
Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Ashran Ghazi berkata, pendekatan berkenaan bertujuan memastikan usaha penyelidikan dan inovasi tidak terhenti pada peringkat cadangan, sebaliknya diterjemahkan kepada projek rintis dengan tempoh pelaksanaan serta hasil yang dipersetujui bersama.
"MRANTI akan menyelaraskan kerjasama antara badan pengawal selia, pemain industri, penyelidik, penyedia teknologi dan penyedia pembiayaan bagi memastikan setiap penyelesaian mempunyai sokongan serta laluan pelaksanaan yang jelas," kata beliau dalam kenyataan pada Rabu.
Lima bidang berkenaan ujarnya, digerakkan menerusi Mission Labs bersempena dengan program I-Nation 2026 bertemakan 'Mission to Action' yang dianjurkan MRANTI, iaitu agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Tiga bidang pertama iaitu penuaan sihat, keterjaminan makanan dan industri sawit menyokong inisiatif nasional terpilih daripada tujuh Mission-Oriented Initiatives (MOI) yang diluluskan Majlis Sains Negara, manakala ekonomi altitud rendah dan mobiliti autonomi memberi tumpuan kepada peluang baharu berasaskan permintaan industry.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, keutamaan negara kini adalah memastikan keupayaan penyelidikan dan inovasi menghasilkan manfaat yang boleh diukur kepada rakyat serta industri, termasuk meningkatkan penggunaan teknologi dan daya saing syarikat tempatan.
"Bagi misi penuaan sihat, MRANTI sedang memuktamadkan perjanjian kerjasama dengan MRIC Healthcare Sdn Bhd sebagai rakan peneraju pertama untuk menggabungkan kepakaran penjagaan kesihatan dan teknologi dalam pembangunan projek rintis berasaskan keperluan industry," kata Ashran.
Pada I-Nation 2026, MRIC Healthcare turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan empat rakan kerjasama, iaitu Academy of Medicine of Malaysia bagi meningkatkan kesedaran kanser hati serta akses kepada saringan dan diagnosis awal, ACT4Health Senior Clinic Sdn Bhd untuk saringan kesihatan komuniti dan pencegahan penyakit, serta Sena Healthcare bagi latihan penjaga dan perkhidmatan pengangkutan serta pengiring pesakit.
Kerjasama dengan Management and Science University (MSU) pula merangkumi penyelidikan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sains kesihatan dan pembangunan aplikasi perubatan bersepadu, manakala MoU berasingan dengan CelcomDigi Mobile Sdn Bhd dan CelcomDigi Telecommunications Sdn Bhd masih dalam perancangan bagi menyokong agenda penuaan sihat menerusi teknologi baharu.
Sementara itu, Global Sandbox Forum (GSF) yang berlangsung bersempena I-Nation 2026 menghimpunkan pengawal selia, pengendali sandbox, wakil industri dan rakan global bagi memperkukuh kerjasama rentas sempadan dalam pengujian, pengesahan serta pengkomersialan teknologi, berasaskan pengalaman Malaysia menerusi National Technology and Innovation Sandbox (NTIS). - DagangNews.com





