MTC Orec raih kontrak loji penapisan biometana daripada Gas Malaysia di Trong, Perak

12/09/2025 - 11:53
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 12 Sept – MTC Orec Sdn Bhd, syarikat kejuruteraan bioenergi tempatan yang juga merupakan syarikat pelaburan VentureTech Sdn Bhd telah dianugerahkan kontrak Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) oleh Gas Malaysia Berhad bagi pembangunan Loji Penapisan Biometana di Trong, Perak.
Kontrak tersebut ditawarkan menerusi anak syarikat Gas Malaysia Green Ventures Sdn Bhd (GMGV) dan menandakan pencapaian penting bagi MTC Orec kerana ia merupakan projek biometana keenam syarikat itu bersama Gas Malaysia.
Ia sekali gus mengukuhkan kerjasama jangka panjang antara kedua-dua pihak dalam memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.
Projek berkenaan dijadualkan siap dalam tempoh 13 bulan, mencerminkan keupayaan MTC Orec untuk melaksanakan pembangunan infrastruktur tenaga hijau secara cekap dan mengikut piawaian tinggi.
Menurut MTC Orec, kontrak itu sejajar dengan visi syarikat untuk menjadi peneraju dalam inovasi lestari serta menyokong aspirasi negara mempercepatkan peralihan kepada tenaga rendah karbon.
Ketua Pegawai Eksekutif MTC Orec, Dr Zahari Mohamad berkata, kontrak baharu dengan Gas Malaysia membuktikan keyakinan yang diberikan terhadap kemampuan syarikat serta peranan Malaysia dalam kepimpinan tenaga boleh diperbaharui.
“Dengan menggabungkan kepakaran tempatan dan kerjasama antarabangsa, kami menyediakan penyelesaian yang meningkatkan keselamatan tenaga, mengurangkan pelepasan karbon dan menyumbang kepada agenda penyahkarbonan global.
“Melangkah ke hadapan, fokus kami bukan sahaja pada biometana, tetapi juga produk hiliran seperti bahan api maritim lestari dan bahan api penerbangan lestari.
“Inovasi ini akan memperkukuh ekosistem tenaga boleh diperbaharui Malaysia dan meletakkan MTC Orec sebagai pemangkin masa depan yang lebih bersih dan hijau,” katanya dalam satu kenyataan.
Awal tahun ini, MTC Orec turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan IHI Plant Services (IPC) di Osaka World Expo pada Mei 2025.
MoU tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan sistem multi-digester yang menggabungkan teknologi Anaerobic Lagoon dengan reaktor proprietari IC milik IPC, menekankan kepentingan kerjasama rentas sempadan dalam penyelesaian tenaga lestari.
MTC Orec kini berhasrat memperluaskan peranan merentasi rantaian nilai tenaga boleh diperbaharui dengan memacu inovasi dalam aplikasi hiliran, sekali gus menyokong peralihan menyeluruh ke arah ekonomi rendah karbon yang mampan.- DagangNews.com
standard
