
PETALING JAYA – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan pelantikan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil sebagai ahli baharu Majlis Penasihat Shariah (MPS) BNM untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa 1 November 2026.
Dengan pelantikan tersebut, MPS akan dibarisi oleh sembilan ahli yang berkepakaran dan berpengalaman dalam bidang syariah, kewangan Islam, perakaunan dan undang-undang.
Mereka termasuk Perunding Syariah, Datuk Dr. Ashraf Md. Hashim selaku Pengerusi dan Profesor Kehormat, Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah Engku Ali sebagai Timbalan Pengerusi.
Ahli lain ialah Perunding Syariah, Burhanuddin Lukman; Timbalan Presiden Penyelidikan Institut ISRA, Universiti INCEIF, Dr. Marjan Muhammad; Ketua Pengurusan Syariah Permodalan Nasional Berhad, Dr. Ahmad Basri Ibrahim; Pengarah Pusat Kecemerlangan Kewangan Sosial Islam, Universiti INCEIF, Prof. Dr. Amir Shaharuddin; Mantan Pensyarah UIAM dan Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman; dan Mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd. Yusof.
BNM berkata, MPS merupakan badan berautoriti tertinggi bagi menentukan hukum syarak berhubung dengan perniagaan kewangan Islam di Malaysia, memainkan peranan utama untuk menggalakkan kepastian pada syariah serta mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap industri kewangan Islam.
MPS juga berfungsi sebagai penasihat kepada BNM mengenai sebarang isu syariah yang berkaitan dengan aktiviti atau transaksi kewangan Islam yang dijalankan oleh BNM.
“Keputusan Syariah yang dibuat oleh MPS menjadi sumber rujukan institusi kewangan Islam bagi memastikan operasi perniagaan mereka mematuhi prinsip Syariah. Selain itu, keputusan MPS juga digunakan sebagai rujukan mahkamah dan penimbang tara.
“BNM juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Dr. Anhar Opir (Mufti Selangor) yang menamatkan perkhidmatan beliau sebagai ahli MPS pada 31 Oktober 2026. Dr. Anhar dilantik sebagai ahli MPS pada 1 November 2019,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE
The post Mufti Wilayah Persekutuan ahli baharu Majlis Penasihat Shariah BNM appeared first on Kosmo Online.






