amree30/10/2026 - 11:10 AHMAD FAUWAZ FADZIL Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt — Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil dilantik sebagai ahli baharu Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank Negara Malaysia (BNM) selama tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 November 2026.
Pelantikan itu dibuat menurut Seksyen 53(1) Akta BNM 2009, sekali gus menjadikan beliau antara sembilan anggota dalam badan berautoriti tertinggi yang menentukan hukum Syarak berkaitan perniagaan kewangan Islam di Malaysia.
Ahmad Fauwaz, 45, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar, Mesir (2000-2004) dan Ijazah Sarjana Usul Fiqh dari Universiti Malaya (2017) itu dilantik menjadi mufti tersebut sejak 23 Mei 2025.
"Dengan pelantikan tersebut, MPS terus dianggotai sembilan individu yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang Syariah, kewangan Islam, perakaunan serta undang-undang," jelas BNM dalam kenyataan pada Jumaat.
MPS dipengerusikan Datuk Dr. Ashraf Md Hashim yang juga seorang perunding Syariah, manakala Profesor Kehormat Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Engku Rabiah Adawiah Engku Ali sebagai Timbalan.
Ahli-ahli lain ialah perunding Syariah, Burhanuddin Lukman; Dr Marjan Muhammad dan Prof Dr Amir Shaharuddin dari Universiti INCEIF; Dr Ahmad Basri Ibrahim (Permodalan Nasional Berhad), Dr Abdul Rahim Abdul Rahman (Universiti Sains Islam Malaysia) serta Datuk Zabariah Mohd Yusof.

Dalam pada itu, BNM turut merakamkan penghargaan kepada Mufti Selangor, Datuk Setia Dr Anhar Opir yang menamatkan perkhidmatan sebagai ahli MPS pada 31 Oktober 2026 selepas hampir tujuh tahun berkhidmat sejak 1 November 2019.
Gabenor BNM, Datuk Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, MPS memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi Malaysia untuk terus memperkukuh kedudukan negara ini sebagai peneraju bidang kewangan Islam di peringkat global.
"Sumbangan Anhar sepanjang tempoh perkhidmatannya turut telah memperkaya pertimbangan Syariah MPS menerusi penguasaan dalam khazanah keilmuan Islam serta penghujahan Syariah secara lebih berwibawa, tambah beliau lagi.
Pada masa sama, beliau mengalu-alukan pelantikan Ahmad Fauwaz dan yakin kepakaran serta pengalaman mufti berkenaan dapat terus memperkukuh peranan MPS dalam menyokong perkembangan industri kewangan Islam negara.
MPS merupakan badan berautoriti tertinggi yang menentukan hukum Syarak berkaitan perniagaan kewangan Islam di Malaysia, selain berperanan memberi nasihat kepada BNM mengenai isu Syariah yang melibatkan aktiviti dan transaksi kewangan Islam.
Keputusan Syariah yang dikeluarkan MPS menjadi rujukan institusi kewangan Islam bagi memastikan operasi perniagaan mematuhi prinsip Syariah, selain turut digunakan sebagai rujukan oleh mahkamah dan penimbang tara. - DagangNews.com






