Muhammad Haikal Dipercayai Dikurung, Diseksa 2 Hari Sebelum Mayat Ditemui Terbaring Di Tepi Jalan

13 Oct 2026 • 10:56 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Muhammad Haikal Dipercayai Dikurung, Diseksa 2 Hari Sebelum Mayat Ditemui Terbaring Di Tepi Jalan

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebelum ini seramai 14 individu telah ditahan reman untuk membantu siasatan kes pembunuhan membabitkan seorang remaja lelaki yang mayatnya ditemukan di tepi semak di Gurun, Sungai Petani pada 8 Oktober lalu.

Mayat dikenali sebagai Muhammad Haikal Mohd Shahrilnizam berusia 19 tahun itu telah ditemui oleh orang awam di tepi semak berdekatan Jalan Harvard Golf Club, selain bahagian muka serta kepalanya turut terdapat cedera, lapor Kosmo.

Mangsa disyaki dikurung 2 hari & diseksa sebelum meninggal dunia

Terbaharu, polis memaklumkan Muhammad Haikal disyaki telah dikurung selama dua hari serta diseksa sebelum mangsa meninggal dunia.

Jelas Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah mayat remaja lelaki itu kemudiannya dicampakkan ke lokasi insiden sebelum dijumpai oleh orang awam.

Orang awam kemudiannya membuat laporan polis sekitar jam 8 pagi (9 Oktober).

14 individu ditahan termasuk 2 remaja bawah umur

Ujarnya menerusi siasatan yang dilakukan membawa kepada serbuan, ekoran itu seramai 14 lelaki tempatan kemudiannya ditahan.

Mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 24 tahun, termasuklah dua orang remaja bawah umur, di sekitar kawasan Gurun serta Guar Chempedak.

Muhammad Haikal didakwa curi motosikal sebelum dikurung 2 hari, mangsa dipukul, diseksa, rambut digunting sebelum meninggal dunia

“Si mati yang berusia 19 tahun dituduh mencuri motosikal oleh kumpulan suspek ini tanpa sebarang laporan polis dibuat.

“Suspek menjalankan siasatan sendiri sebelum menangkap mangsa pada 5 Oktober di Pendang. Mangsa kemudian dibawa ke rumah salah seorang suspek di Gurun dan dikurung selama dua hari.

“Sepanjang tempoh itu, mangsa dipukul, diseksa dan rambutnya digunting. Pada malam 7 Oktober, mangsa didapati telah meninggal dunia sebelum mayatnya dibuang secara kejam di tepi jalan dan ditemukan pada pagi 8 Oktober kira-kira pukul 8 Pagi,” jelas beliau, lapor Sinar Harian.

Beberapa barangan dirampas oleh polis

Selain itu, polis turut membuat rampasan beberapa barangan seperti:

  • 14 telefon bimbit pelbagai jenama
  • Kereta Honda City
  • Sebilah gunting
  • Kad pengenalan mangsa

Suspek ditahan reman sehingga 14 Oktober, manakala dua remaja bawah umur terbabit direman tiga hari untuk membantu siasatan.

Salah seorang suspek ada rekod lampau berkaitan kes dadah, punca kematian mangsa kerana kecederaan pelbagai akibat hentakan objek tumpul

Tambah beliau lagi, daripada 14 yang ditahan hanya seorang suspek sahaja yang memiliki rekod lampau berkaitan kes dadah.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah konsisten dengan kecederaan pelbagai akibat hentakan objek tumpul (multiple injuries due to blunt force trauma).”

Adzli dalam masa turut menghargai maklumat yang diberikan oleh orang awam sehingga membantu untuk menyelesaikan kes tersebut.

Polis nasihat buat laporan polis jika ada sebarang kes rompak atau kecurian

Beliau dalam masa sama menasihatkan orang ramai agar membuat laporan polis untuk melakukan tindakan lanjut sekiranya berlaku kes kecurian mahupun rompakan.

“Nasihat saya sekiranya berlaku kes kecurian atau rompakan, buat laporan polis dan serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.

“Orang awam boleh membantu menahan suspek dalam keadaan tertentu, namun tindakan tersebut tidak boleh melampaui batas sehingga menyebabkan kejadian seperti ini berlaku,” ujarnya.

Ibu tekejut sewaktu polis datang ke rumah untuk lakukan pengecaman apabila tunjuk gambar mayat

Terdahulu mayat Muhammad Haikal ditemui oleh orang awam dengan keadaan lengkap berpakaian sukan hitam dan kuning.

Memetik laporan Harian Metro ibu kepada mangsa, Azura Zor berusia 41 tahun terkejut apabila anggota polis berkunjung ke rumahnya di Guar Chempedak dan menunjukkan gambar mayat lelaki untuk melakukan pengecaman.

Kata si ibu, dia tidak mengetahui keberadaan anaknya itu dan pernah cuba menghubungi dengan menghantar kiriman WhatsApp akan tetapi tidak mendapat sebarang jawapan.

“Saya tak tahu anak saya itu tinggal di mana. Saya pernah cuba menghubunginya atau menghantar kiriman WhatsApp namun tiada jawapan.

“Kami cuba mencarinya namun tidak jumpa sehinggalah polis datang memaklumkan perkara itu.

“Polis beritahu anak saya ditemui terbaring di tepi jalan di lokasi kejadian pagi tadi.”

Hubungan dengan anak baik-baik dan terputus selepas anak keluar rumah sejak bulan lalu

Katanya lagi, hubungan dia dan Muhammad Haikal terputus selepas anak lelakinya itu keluar dari rumah sejak September lalu dan mereka tidak mempunyai sebarang masalah.

Manakala bapa kepada Muhammad Haikal , Mohd Shahrilnizam Che Sharif, 41, memaklumkan dia sebelum ini pernah menerima pesanan mesej di WhatsApp dari seorang individu yang meminta wang berjumlah RM200.

“Mesej itu berkemungkinan dihantar kenalan anak saya itu. Namun kami tidak mengetahui tujuan permintaan itu.

“Arwah memang tiada masalah dengan kami malah dia suka bergurau dengan adik-adiknya.

“Kalau betul anak saya dibunuh, saya harap tindakan setimpal dikenakan terhadap pelakunya,” jelasnya lagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved