KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan membuat kejutan apabila memohon bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa atas satu kes rasuah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) berjumlah RM200 juta.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib berkata, setelah meneliti keseluruhan kedudukan kes, pihak pendakwaan membuat keputusan untuk tidak meneruskan empat pertuduhan yang berkaitan dengan Bukhary Equity Sdn Bhd itu.
“Justeru, pihak pendakwaan memohon tertuduh diberikan perintah DNAA bagi pertuduhan-pertuduhan berkenaan, selaras dengan peruntukan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.
“Bagi mengelak kekeliruan, permohonan ini terhad kepada empat pertuduhan tersebut sahaja, ia tidak melibatkan tiga pertuduhan lain yang masih dihadapi tertuduh,” katanya.
Bagaimanapun, peguam mewakili Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik membantah permohonan DNAA.
Sebaliknya beliau memohon, mahkamah memberikan perintah dilepas dan dibebaskan (DNA) secara kekal.
“Permohonan itu dibuat kerana perbicaraan kini hampir selesai dan pihak pendakwaan tidak mengemukakan walau satu bukti pun berhubung empat pertuduhan berkenaan.
“Berdasarkan senarai saksi yang dikemukakan kepada mahkamah, nama Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Bukhary Equity tidak disenaraikan sebagai saksi pendakwaan.
“Sedangkan kedua-duanya dikatakan menjadi saksi utama bagi empat pertuduhan terbabit.
“Ini jelas menunjukkan pendakwaan tidak lagi berminat meneruskan pertuduhan terhadap anak guam,” katanya yang hadir bersama peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad.
Beliau berhujah, kes berkenaan mungkin selesai pada bila-bila masa, namun tiada bukti dikemukakan pendakwaan berhubung empat pertuduhan tersebut.
Hisyam berkata, pendakwaan juga tidak memberikan alasan kukuh bagi permohonan DNAA berkenaan.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin memberikan perintah DNA kepada Muhyiddin.
“Mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh atas empat kes itu sahaja, jadi kita teruskan perbicaraan dengan baki tiga lagi berkaitan Jana Wibawa,” kata hakim.
Mengikut satu pertuduhan, Muhyiddin sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity, bagi sekutu tertuduh iaitu parti berkenaan.
Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 8 dan 25 Februari 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen berkenaan membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi tiga lagi pertuduhan, Muhyiddin didakwa Presiden Bersatu telah menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan ke akaun CIMB dan AmBank milik parti berkenaan.
Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral, di sini dan AmBank Cawangan Amcorp Mall, Petaling Jaya, Selangor antara 25 Februari dan 8 Februari 2022 dan 8 Julai 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) Akta sama.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah hasil AMLA atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.






