Musim cuti: Lebih 150,000 kenderaan sehari dijangka guna WCE

LocalCars
28 Aug 2026 • 11:35 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Musim cuti: Lebih 150,000 kenderaan sehari dijangka guna WCE

SHAH ALAM, 28 OGOS: Lebih 150,000 kenderaan sehari dijangka menggunakan jajaran Lebuhraya Pantai Barat (WCE) sepanjang sambutan Hari Kebangsaan ke-69 dan cuti sekolah.

Ketua Operasi Lebuhraya WCE, Ir Syed Muhd Naguib berkata jangkaan peningkatan trafik itu susulan pertambahan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung, khususnya antara Lembah Klang, Selangor dan Perak.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna lebuh raya untuk merancang perjalanan mereka lebih awal dan mengelakkan waktu puncak terutama lewat petang hingga malam.

Image from: Musim cuti: Lebih 150,000 kenderaan sehari dijangka guna WCE
Ketua Operasi Lebuhraya WCE, Ir Syed Muhd Naguib

“Kami menjangkakan jumlah trafik melebihi 150,000 kenderaan sehari akan menggunakan WCE sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan cuti sekolah ini.

“Keutamaan kami ialah memastikan keselamatan setiap pengguna lebuh raya. Rancang perjalanan, dapatkan rehat secukupnya dan jangan sesekali menggadaikan keselamatan semata-mata untuk menjimatkan beberapa minit perjalanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, WCE turut meningkatkan kesiapsiagaan operasi menerusi rondaan lebuh raya dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) 24 jam selain pemantauan trafik berterusan bagi memastikan perjalanan pengguna lebih lancar dan selamat sepanjang tempoh cuti.

Pengguna digalakkan menggunakan aplikasi WCE App untuk merancang perjalanan, mendapatkan panduan navigasi serta maklumat trafik masa nyata termasuk paparan kamera litar tertutup (CCTV) secara langsung.

WCE turut mengingatkan pengguna supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, baki kad Touch ’n Go atau e-dompet mencukupi selain mematuhi had laju dan memakai tali pinggang keledar.

Pengguna yang letih dinasihatkan berhenti berehat di hentian sebelah, plaza tol atau kawasan Rehat dan Rawat (R&R) manakala penunggang motosikal boleh menggunakan kawasan teduhan untuk berehat atau berteduh ketika hujan.

WCE menegaskan lorong kecemasan bukan laluan eksklusif untuk penunggang motosikal, sebaliknya hanya digunakan bagi tujuan kecemasan, operasi menyelamat dan pengurusan insiden.

Sebarang bantuan kecemasan di sepanjang WCE boleh diperoleh dengan menghubungi WCE Infoline di talian 1700-81-6600 yang beroperasi 24 jam.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved