
PUTRAJAYA- Sebanyak RM314 juta kutipan hasil kerajaan belum dipindahkan oleh My E.G. Sdn. Bhd. (MYEG) dan Zetrix AI Berhad ke Akaun Terimaan Utama Pejabat Perakaunan Kementerian Pengangkutan (MOT) bermula 19 Mei sehingga 30 September lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, susulan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil keputusan untuk menggantung perkhidmatan saluran MYEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut hasil berkuat kuasa hari ini.
Katanya, tindakan itu berikutan kegagalan syarikat-syarikat tersebut memenuhi kewajipan memindahkan kutipan hasil kerajaan dalam tempoh ditetapkan.
“Ini yang saya nak memperbetulkan sedikit laporan-laporan media yang mengatakan bahawa dah tiga tahun mengapa JPJ dan MOT tidak mengambil tindakan, tidak betul, tiga tahun itu tidak tepat.
“Tunggakan ini bermula bulan Mei tahun ini, iaitu beberapa bulan lalu. Sebelum bulan Mei, memang dulu-dulu pun memang ada tunggakan, kadang-kadang ada tunggakan, tapi selepas kita mengeluarkan surat notis peringatan, mereka bayar tunggakan mereka dan sebagainya.
“Tetapi tunggakan yang tidak berbayar ini sebanyak RM314 juta adalah sejak bulan Mei tahun ini, iaitu beberapa bulan lalu sahaja, bukannya tiga tahun,” katanya menerusi sidang akhbar di sini hari ini.
Kelmarin, Kosmo! melaporkan JPJ menggantung perkhidmatan My E.G. Sdn. Bhd. dan Zetrix AI Berhad di bawah Kumpulan MYEG sebagai ejen pemungut berkuat kuasa pada Isnin.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly berkata, keputusan ini dibuat setelah mengambil kira pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian yang ditetapkan serta kedudukan obligasi (tanggungjawab) yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post MYEG ada tunggakan bayaran RM314 juta sejak Mei lalu appeared first on Kosmo Online.






