MyEG berdepan tuntutan cukai tambahan RM353.13 juta dan saman kerajaan

LocalBusiness & Finance
30 Oct 2026 • 8:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MyEG berdepan tuntutan cukai tambahan RM353.13 juta dan saman kerajaan Image from: MyEG berdepan tuntutan cukai tambahan RM353.13 juta dan saman kerajaan johardy30/10/2026 - 08:00 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Okt - MyEG Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Zetrix AI Berhad berdepan tuntutan cukai tambahan RM353.13 juta serta saman kerajaan ketika kumpulan itu turut menangani isu kutipan hasil kerajaan yang belum diserahkan dan pelanggaran syarat sukuk.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Zetrix AI berkata, MyEG menerima taksiran tambahan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 28 Oktober 2026 bagi tahun taksiran 2021 hingga 2023.

 

Jumlah itu merangkumi cukai pendapatan tambahan RM333.11 juta berkaitan urus niaga antara pihak berkaitan atau harga pindahan serta RM20.02 juta berkaitan faedah disifatkan, termasuk penalti.

 

Kerajaan turut memfailkan saman sivil terhadap MyEG berhubung perkara percukaian tersebut.

 

Menurut Zetrix AI, MyEG yakin terhadap asas pendiriannya dan akan mempertahankan diri dalam saman itu. Syarikat berkenaan juga memfailkan rayuan kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan untuk mencabar taksiran tambahan tersebut sambil berusaha mencapai penyelesaian secara baik dengan LHDN.

 

Isu berasingan kutipan JPJ RM314 juta

Secara berasingan, kerajaan sebelum ini menyatakan rancangan mengambil tindakan undang-undang berhubung kegagalan Zetrix AI menyerahkan hasil RM314 juta yang dikutip bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 di Parlimen menyifatkan kelewatan menyerahkan wang itu sebagai pelanggaran kontrak yang serius, sambil menegaskan hasil kerajaan tidak boleh digunakan untuk membiayai operasi syarikat.

 

Dalam jawapan kepada pertanyaan Bursa Malaysia mengenai isu JPJ, Zetrix AI berkata, pihaknya belum menerima surat rasmi daripada kerajaan. Peranannya sebagai ejen kutipan JPJ telah digantung berhubung hasil yang belum diserahkan itu.

 

Kumpulan itu turut berdepan laporan kunjungan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia ke ibu pejabatnya di Petaling Jaya awal minggu ini sebagai sebahagian daripada siasatan.

 

Pelanggaran syarat sukuk

Zetrix AI turut melanggar syarat program sukuk RM2 bilion selepas Pengarah Urusannya, Wong Thean Soon tidak lagi menjadi pemegang saham terbesar apabila pegangannya merosot daripada 29.25% kepada kira-kira 1.84%, sekali gus menjadikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pemegang saham terbesar.

 

Perbincangan dengan pemegang sukuk masih belum menyelesaikan pelanggaran itu.

 

Bagaimanapun, Zetrix AI memaklumkan pada 29 Oktober bahawa tindakan pembubaran yang tercetus di bawah terma pembiayaan tersebut tidak mewajibkan pembayaran balik serta-merta bagi jumlah tertunggak RM2.16 bilion.

 

Saham Zetrix AI ditutup susut 0.5 sen atau 5.88% kepada lapan sen pada 29 Oktober, menjadikan nilai pasaran kumpulan RM610.39 juta. Harga sahamnya telah merosot lebih 90% sejak awal tahun. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved