johardy30/10/2026 - 09:00 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt - Taghill Holdings Berhad memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM166 juta daripada Exsim Waterfront Sdn Bhd bagi pembangunan komersial merangkumi 493 apartmen servis di George Town, Pulau Pinang.
Anak syarikat milik penuhnya, Taghill Projects Sdn Bhd menerima surat setuju terima kontrak itu pada 29 Oktober 2026, menurut makluman kepada Bursa Malaysia.
Nilai kontrak tersebut tidak termasuk cukai perkhidmatan yang berkenaan.
Skop kontrak merangkumi pembinaan dan penyiapan kerja bangunan utama bagi pembangunan di Plot 4 yang terdiri daripada dua menara apartmen servis, kedai, tempat letak kereta dan kemudahan rekreasi.
Kerja pembinaan dijadualkan bermula pada 18 Januari 2027 selama 24 bulan dengan tarikh siap pada 17 Januari 2029, tertakluk kepada sebarang lanjutan masa mengikut kontrak.
Dua menara menempatkan 493 apartmen servis
Menara A akan menempatkan 236 apartmen servis manakala Menara B mempunyai 257 unit, dengan pembangunan itu turut dilengkapi jambatan penghubung di tingkat 21.
Komponen lain termasuk 13 unit kedai merentasi dua tingkat, satu aras tempat letak kereta bawah tanah serta dua aras tempat letak kereta podium.
Taghill Projects turut melaksanakan kerja luaran di dalam dan di luar sempadan lot serta kerja lain yang ditetapkan dalam lukisan dan dokumen kontrak.
Taghill menjangkakan kontrak itu menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan mulai tahun kewangan berakhir 30 November 2027 sepanjang tempoh pelaksanaan projek.
Kontrak tersebut menetapkan bon pelaksanaan sebanyak RM8.3 juta, bersamaan 5% daripada nilai kontrak, serta tempoh tanggungan kecacatan selama 27 bulan dari tarikh siap. - DagangNews.com





