
KUALA LUMPUR - My E.G. Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd, kedua-duanya di bawah Kumpulan MYEG gagal melangsaikan tunggakan pindahan kutipan hasil kerajaan sebanyak RM314 juta sejak 19 Mei hingga 30 September lalu, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Loke pada sidang media hari ini berkata, berikutan itu Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan keseluruhan tunggakan daripada Kumpulan MYEG.
Media sebelum ini melaporkan perkhidmatan My E.G. Sdn. Bhd. dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut digantung berkuat kuasa hari ini.
Loke turut menolak laporan sebelum in bahawa jumlah berkenaan telah tertunggak selama tiga tahun.
“Tempoh tiga tahun itu tidak tepat. Tunggakan ini bermula pada Mei tahun ini, baru beberapa bulan lalu,’’ katanya.

Beliau memberitahu, antara langkah yang diambil oleh MOT dan JPJ bagi mendapatkan semula kutipan hasil berkenaan, termasuk mengadakan empat sesi libat urus sejak bulan Mei 2026 bersama semua pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kewangan dan mengeluarkan 35 notis peringatan serta menetapkan tempoh penyelesaian tunggakan.
“Pada 21 Ogos 2026, pihak syarikat telah menyerahkan cek bertarikh 30 September 2026 bernilai RM231 juta sebagai penyelesaian tunggakan pada ketika itu.
“Bagaimanapun apabila cek tersebut dikreditkan pada 30 September 2026, pihak bank tidak memproses cek tersebut atas arahan pihak syarikat tersebut,” katanya.
Jumaat lalu, Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata JPJ akan menggantung perkhidmatan yang disediakan oleh MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd, kedua-duanya di bawah Kumpulan MYEG, sebagai ejen kutipannya berkuat kuasa 12.01 tengah malam, 5 Oktober ini.
Aedy Fadly berkata, keputusan itu dibuat susulan semakan terhadap pematuhan terma dan syarat perjanjian mereka, termasuk kewajipan yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan.
Beliau berkata tempahan ujian teori berkomputer Lesen Kenderaan Motor (KPP01) yang dibuat melalui MYEG sebelum 5 Oktober kekal sah dan boleh dijalankan seperti yang dijadualkan.
Bagi tempahan baharu mulai 5 Oktober, pemohon perlu membuat tempahan dan menduduki ujian berkenaan di pusat ujian KPP di institut memandu di seluruh negara.
MYEG dilantik sebagai ejen pemungut JPJ bagi perkhidmatan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), Pertukaran Hak Milik Kenderaan Motor, perkhidmatan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan pembayaran saman secara elektronik sejak 2000.
Sebagai ejen pemungut, syarikat itu bertanggungjawab memindahkan kutipan hasil kerajaan secara harian mengikut ketetapan satu hari bekerja selepas transaksi dilaksanakan.
Dalam pada itu, Loke berkata, penggantungan itu akan kekal sehingga syarikat berkenaan membayar keseluruhan jumlah tertunggak dan selepas itu kerajaan akan mempertimbangkan sama ada untuk menyambung semula perkhidmatan tersebut.
“Tidak sepatutnya ada sebarang alasan. Mereka sepatutnya mengutip bayaran dan kemudian menyerahkan wang itu, jadi mereka perlu membayarnya.
“Kita telah berulang kali memberi mereka banyak peluang. Kita telah mengeluarkan banyak notis peringatan dan mengadakan beberapa mesyuarat sejak beberapa bulan lalu.
“Mereka hanyalah ejen kutipan. Wang itu bukan milik mereka; semuanya milik orang yang membuat bayaran,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, JPJ akan menyediakan kaunter Mobile JPJ di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor, dari 8 pagi hingga 10 malam. - 5 Oktober, 2026
The post MYEG gagal langsaikan tunggakan kutipan hasil RM314 juta sejak Mei: Loke appeared first on Scoop.






