MyJPJ diperkasa, lebih banyak ciri diperkenal November - Anthony Loke

LocalTechnology
5 Oct 2026 • 12:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MyJPJ diperkasa, lebih banyak ciri diperkenal November - Anthony Loke
Anthony Loke pada sidang media di Kementerian Pengangkutan hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Aplikasi MyJPJ akan terus diperkasa dengan lebih banyak ciri dan penambahbaikan dijangka diperkenalkan mulai November ini bagi menggalakkan lebih ramai pengguna berurusan secara terus dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah berkenaan merupakan sebahagian usaha berterusan kementeriannya untuk mentransformasikan perkhidmatan JPJ dan mengurangkan kebergantungan pengguna kepada ejen pemungut hasil pihak ketiga.

“Kami sedang memperkasakan semula MyJPJ, jadi akhirnya kita berharap perkhidmatan akan lebih terbuka kepada semua pengguna, termasuk warga asing,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Menurutnya, transaksi melalui MyJPJ kini menunjukkan peningkatan yang pesat dan usaha menambah baik aplikasi itu akan diteruskan.

“Jadi sebab itu kita terus mengemas kini dan terus menambah baik MyJPJ,” jelas beliau.

Anthony berkata, antara usaha yang sedang dilakukan termasuk memperkenalkan lebih banyak ciri baharu serta meningkatkan aspek keselamatan aplikasi berkenaan.

“Memang kita menggalakkan MyJPJ ini diperkasakan lagi dan tambahan ciri, ciri-ciri lebih baik dan ciri-ciri keselamatan juga perlu diambil kira, maka kita berharap ke arah satu perkhidmatan aplikasi MyJPJ yang lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, Anthony berkata, kira-kira 20 peratus pengguna masih menggunakan khidmat ejen pemungut hasil seperti MyEG.

Katanya, ejen berkenaan masih diperlukan buat masa ini kerana terdapat pengguna yang belum beralih kepada saluran digital JPJ, selain keperluan perkhidmatan di kawasan luar bandar.

“Untuk berbuat demikian, kita perlu membuat persediaan. Sebab itu ejen ini masih diperlukan dan kementerian masih membenarkan ejen pemungut hasil,” katanya.

Anthony berkata, kerajaan bagaimanapun bergerak secara berperingkat ke arah meningkatkan penggunaan saluran terus JPJ.

“Sejak saya mengambil alih tahun 2022, beberapa langkah telah pun diambil untuk membuka dan memecahkan monopoli,” katanya.

Beliau memberi contoh ujian teori KPP01 yang sebelum ini hanya dilaksanakan melalui pusat ujian komputer MyEG.

Menurutnya, kerajaan telah membuka perkhidmatan itu kepada institut memandu lain sehingga kini terdapat 85 institut memandu yang boleh melaksanakan ujian teori berkomputer.

Langkah itu, katanya, membolehkan kerajaan mengambil tindakan terhadap mana-mana penyedia perkhidmatan tanpa menyebabkan pengguna kehilangan akses kepada perkhidmatan berkenaan.

“Kalau saya gantung, semua orang tak boleh pergi ambil ujian teori. Tetapi oleh kerana langkah yang telah diambil untuk membuka pasaran, untuk membuka perkhidmatan ini kepada lebih ramai syarikat, dan hari ini di mana-mana institut memandu, ada 85 institut memandu, mereka boleh terus mengambil ujian teori di institut memandu tersebut,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved