MyKad baharu tiada lagi Touch ’n Go, tapi ada 53 ciri keselamatan

LocalTechnology
17 Sep 2026 • 9:45 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

MyKad baharu tiada lagi Touch ’n Go, tapi ada 53 ciri keselamatan

KUALA LUMPUR – Fungsi Touch ’n Go yang sekian lama menjadi antara kemudahan tambahan pada MyKad tidak lagi disertakan dalam MyKad generasi baharu yang mula dikeluarkan secara berperingkat hari ini.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memaklumkan perubahan itu dibuat apabila MyKad terbaharu kini memberi tumpuan kepada fungsi utamanya sebagai dokumen pengenalan diri rasmi negara, dengan aspek keselamatan dan perlindungan identiti dipertingkatkan.

Bagaimanapun, pengguna masih boleh menggunakan perkhidmatan Touch ’n Go menerusi aplikasi Touch ’n Go eWallet atau kad fizikal berasingan.

“Bagi pengguna yang ingin terus menggunakan perkhidmatan Touch ’n Go, kemudahan tersebut boleh digunakan melalui Touch ’n Go eWallet atau kad Touch ’n Go yang berasingan,” menurut JPN.

MyKad generasi baharu dilengkapi 53 ciri keselamatan, meningkat daripada 23 ciri pada versi terdahulu, bagi memperkukuh pengesahan identiti serta mengurangkan risiko pemalsuan dan penyalahgunaan dokumen.

Antara ciri keselamatan yang diperkenalkan ialah Hologram Keselamatan Dinamik, Transparent Window, Kod QR Penguatkuasaan, teks mikro, ciri keselamatan ultraungu (UV), corak guilloche serta Cip Antara Muka Dwi Fungsi.

Hologram berkenaan menghasilkan kesan visual tiga dimensi yang berubah mengikut sudut pandangan dan pencahayaan, manakala elemen keselamatan tertentu hanya boleh dilihat menggunakan sinaran UV.

Penggunaan bahan polikarbonat pula meningkatkan ketahanan fizikal MyKad termasuk terhadap suhu dan bahan kimia, sekali gus menjadikan dokumen berkenaan lebih sukar untuk diubah suai atau dipalsukan.

Dalam pada itu, MyKad generasi baharu boleh disiapkan pada hari sama bagi permohonan di cawangan JPN yang mempunyai kemudahan cetakan.

Bagi cawangan tanpa kemudahan berkenaan, kad akan disiapkan dalam tempoh lima hari bekerja. JPN mengesahkan semua permohonan kad pengenalan yang memenuhi syarat mulai 17 September akan menerima MyKad generasi baharu.

Orang ramai bagaimanapun tidak perlu tergesa-gesa menukar MyKad semata-mata untuk mendapatkan versi baharu kerana kad pengenalan sedia ada masih sah dan boleh terus digunakan seperti biasa.

The post MyKad baharu tiada lagi Touch ’n Go, tapi ada 53 ciri keselamatan appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved